fbpx

Wessels tukang kasut untuk manusia-manusia ‘gergasi’ di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEPANJANG kerjayanya, Wessels (depan) telah membantu ramai manusia yang mempunyai ketinggian luar biasa untuk memiliki kasut selesa yang bersesuaian memandangkan kesukaran untuk menemui kasut saiz kaki mereka di pasaran.

BUKAN mudah menjadi manusia yang mempunyai pertumbuhan tidak normal seperti paling tinggi dan berkaki terbesar di dunia kerana mereka berdepan masalah untuk mencari saiz kasut berpadanan.

Sehubungan itu, sebuah syarikat pengeluar kasut dari Jerman tampil menghulurkan bantuan memandangkan tiada saiz sepatu untuk manusia gergasi yang dijual di pasaran sehingga mereka perlu membuat tempahan khas.

Jenama kasut itu yang dikenali sebagai Wessels merupakan perusahaan sepatu warisan keluarga turun-temurun sejak 275 tahun lalu. Kini, perusahaan itu diteruskan generasi kelapan keluarga tersebut iaitu Georg Wessels yang telah membantu manusia bersaiz besar di seluruh dunia sejak 40 tahun lalu.

“Ayah saya membuat kasut saiz besar dan kami pakar dalam pembuatan kasut sebegini sejak empat dekad lalu.

“Saya membantu ayah menghasilkan kasut gergasi sejak kecil sehingga timbul keinginan untuk meneruskan legasi ini bagi menolong mereka yang mempunyai saiz kaki istimewa,” katanya yang cuma berketinggian 152 sentimeter (sm).

WESSELS telah menghasilkan kasut bersaiz besar untuk pemegang-pemegang rekod dunia termasuk Kosen (baju merah) yang merupakan lelaki tertinggi di dunia pada masa ini.

Tambah Wessels, sudah menjadi tugasnya untuk membantu memenuhi keperluan mereka memandangkan amat sukar untuk mendapatkan kasut bersaiz luar biasa besar di pasaran.

Pihaknya juga sangat berbesar hati menghulurkan bantuan tersebut dan kini mempunyai ramai kawan ‘manusia gergasi’ di seluruh dunia.

Antara manusia gergasi yang pernah dibantunya ialah pemilik kaki terbesar dunia, Jeison Orlando Rodriguez Hernandez dari Venezuela dan lelaki tertinggi dunia Sultan Kosen dari Turki.

“Saya bertemu dengan Rodriguez pada tahun 2013 yang mana ketika itu dia berusia 16 tahun.

“Menjadi perkara biasa bagi saya untuk bertemu dengan manusia gergasi dan hubungan kami sangat rapat bagaikan sebuah keluarga,” ujarnya.

Wessels juga telah menghasilkan lebih 25 sepatu khas untuk Kosen dan beliau mengatakan lelaki itu yang paling tinggi pernah dilihatnya.

Kosen yang berusia 39 tahun itu mempunyai saiz kaki 60 (Eropah) dan mereka berdua telah bersahabat sejak 13 tahun lalu.

Cerita Kosen, dahulu, dia jarang keluar rumah kerana takut ditertawakan orang di jalanan ekoran ketinggiannya yang tidak normal seperti manusia lain.

WESSELS mewarisi kemahiran menghasilkan kasut-kasut bersaiz gergasi daripada keluarganya.

Namun, segalanya berubah sejak dia tersenarai dalam Guinness World Records dan orang ramai mula menghargainya serta meminta autograf.

Lelaki berketinggian 251sm itu berterima kasih kepada Wessels kerana memberikan sebahagian besar kebebasan kepadanya dengan menghasilkan kasut yang sesuai dengan saiz kaki.

“Georg seorang yang baik hati kerana dia turut memberikan kasut percuma kepada mereka yang tidak berkemampuan.
“Dia seperti bapa saya,” kata Kösen sambil menepuk bahu lelaki itu.

Ekoran populariti Wessels dalam membuat sepatu khas, pihaknya pernah menerima permintaan daripada pemilik unta untuk menghasilkan kasut khas haiwan itu yang mengalami masalah pada kaki.

Peristiwa yang berlaku pada tahun 2005 itu menjadi bualan di seluruh dunia dengan tersebar gambar unta tersebut memakai kasut buatan Wessels.

Sementara itu, baru-baru ini syarikat sepatu itu menjalankan projek menghasilkan kasut untuk lelaki tinggi, Charles Nyoni dari Zimbabwe dan Win Zaw Oo dari Myanmar.
Kedua-dua lelaki itu masing-masing mempunyai ketinggian 210sm dan 233sm.

“Kami membuat kasut untuk 10 lagi manusia gergasi pada tahun ini dalam usaha membantu rakan-rakan yang mempunyai pertumbuhan luar biasa,” ulasnya.

Sementara itu, dua lagi manusia tinggi iaitu Brahim Takioullah (246sm) dan Abdramane Dembele (232sm) yang kini tinggal berhampiran Paris, Perancis turut menempah kasut dengan Wessels.

“Saya jatuh cinta dengan kasut keluaran Wessels kerana pertama kali memakai kasut yang tidak menyakitkan.

“Baru sekarang saya menerima kehidupan sebagai manusia gergasi dan ia diceriakan lagi dengan kasut yang sepadan dengan saiz kaki,” kata Takioullah.

DEFEN gembira menerima kasut daripada Wessels yang sanggup datang ke China.

Menurutnya, bergambar kenangan dengan Wessels di kedainya adalah cara mereka mengucapkan terima kasih kepadanya.

Pelanggan Wessels kebanyakannya mengalami masalah gigantisme iaitu keadaan di mana tumor pada kalenjar pituitari mereka terus berkembang sehingga memerlukan rawatan.

Keadaan tersebut membawa pelbagai cabaran seperti tidak muat untuk duduk di kerusi kereta api atau kapal terbang. Mereka juga perlu membayar lebih mahal untuk mendapatkan pakaian dan kasut yang ditempah khas.

Kasut amat penting bagi penghidap gigantisme yang mengalami masalah kesihatan sekunder termasuk diabetes sehingga berjalan menyebabkan kesakitan.

“Kasut perlu mempunyai beberapa ciri penting iaitu lembut terutamanya untuk kaki mereka yang sensitif bagi menampung berat badan,” jelas Wessels.

Kemurahan hati pembuat kasut gergasi itu membuatkan namanya cukup dihormati di seluruh dunia. Wessels berasa sangat simpati dengan nasib mereka yang mengalami saiz luar biasa.

Wessels juga sanggup terbang ke China untuk menyediakan kasut kepada Yao Defen yang pernah mendapat gelaran wanita tertinggi di dunia.

Dia menghabiskan masa bertahun-tahun untuk menjejaki wanita itu yang lahir dalam keluarga petani miskin di wilayah Anhui dan mempunyai ketinggian 236sm.

“Saya menulis surat kepadanya dan bertanya jenis kasut serta warna yang dia mahukan. Jawabnya, dia tidak peduli warna dan wanita itu sangat gembira kerana akhirnya miliki kasut yang sesuai dengan saiz kakinya,” cerita lelaki itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI