NAMA Imran Aqil mungkin masih agak janggal buat sebahagian peminat hiburan tanah air ketika ini.
Pucuk muda kelahiran Tapah, Perak itu bagaimanapun tidak mahu terburu-buru memikirkan glamor, dia perlahan demi perlahan mahu mencipta nama bagi mengukuhkan jenama dalam arena seni.
Digilap dan dicungkil bakatnya menerusi program popular, Hero Remaja 2020, Imran dilihat bijak mengemudi kembara hidupnya.
Biarpun sekadar menduduki tempat keenam menerusi program yang digilai remaja tersebut, Imran tidak menghiraukan soal kedudukan kerana bukan perkara tersebut menjadi penentu segaala-galanya.
Buktinya, kerjaya seninya kian mekar dan dia mampu tersenyum atas usaha dan keringat yang dicurahkan sebelum ini.
“Alhamdulillah, banyak perubahan yang berlaku dalam hidup saya sejak tamat Hero Remaja tahun lalu.
“Walaupun tidak terpilih sebagai juara apatah lagi berada pada kedudukan tiga teratas, tidak mengapalah, itu bukan rezeki dan apa yang saya kejarkan.
“Paling penting pada saya, bagaimana kita membawa haluan untuk menempuh kehidupan yang penuh dengan liku,” katanya membuka bicara bersama HibGlam.
Berbual menerusi panggilan telefon hampir sejam baru-baru ini, Imran memberitahu, Hero Remaja banyak membentuk dan menjadikan dirinya lebih yakin berbanding dahulu.
Introvert, tuah
Akuinya, sebelum menyertai program tersebut, dia merupakan seorang yang bersifat introvert, pemalu, kurang yakin dan kurang bersosial.
“Hero Remaja banyak membantu saya menjadi insan yang berfikir di luar kotak dan tidak hanya pada satu perkara sahaja.
“Kalau dahulu saya pemalu, kurang bergaul dan bercampur dengan orang lain dan lebih suka menyendiri, tetapi sekarang tidak lagi.
“Sekarang saya lebih pandai menyesuaikan diri dalam apa jua perkara dan menjadi semakin matang berbanding sebelum ini,” katanya.
Imran atau nama sebenarnya Mohammad Imran Aqil Mohd. Salehuddin, 22, berkata, dia bersyukur kehadirannya dalam bidang glamor diterima dan dipermudahkan.
Kata Imran, dia tidak pernah terfikir mampu sampai dan bertahan hingga ke tahap ini.
“Habis sahaja Hero Remaja dahulu, saya sebenarnya tak tahu apa nak buat. Tapi kalau ikutkan minat, saya memang nak sangat jadi pelakon sejak kecil.
“Alhamdulillah, peluang untuk berlakon itu datang dan dipermudahkan. Kalau dikira, sudah tiga buah drama pernah saya jayakan sebelum ini.
“Walaupun hanya sebagai pelakon tambahan, saya okey kerana apa yang paling penting ialah bakat lakonan yang saya cuba pertontonkan, seterusnya perlahan-lahan membina nama,” ujarnya.
Nama Imran mula dikenali selepas menjayakan satu watak menerusi drama fenomena Budak Tebing tahun lalu.
Daripada situ jugalah, bakatnya mula menjadi perhatian dan cakap-cakap dalam kalangan pemilik produksi serta pengarah tempatan.
Benar orang kata, kalau sudah rezeki pasti tidak akan ke mana, tinggal lagi, cepat atau lambat.
Selepas Budak Tebing, dia kemudiannya dilamar untuk membawakan satu watak dalam sebuah genre karya yang tidak pernah difikirkan sebelum ini.
“Alhamdulillah satu lagi tawaran lakonan baharu sahaja saya lunaskan baru-baru ini iaitu menerusi filem sulung saya, Dendam Penunggu terbitan Tonton Cinema.
“Filem genre seram ni memang tak pernah terlintas langsung untuk saya bawakan. Ini secara tak langsung jadi satu tanda aras sekali gus mencabar diri sendiri untuk sesuatu yang baharu,” katanya.
Dendam Penunggu sudah pun menemui penonton bermula 5 November lalu dengan barisan pelakon remaja dan senior hebat lain seperti Ismail Izzani, Shalma Eliana, Bella Dowanna, Atiq Azman, Amerul Affendi, Sherry Alhadad dan Hasnul Rahmat.
Bukan bayangan
Bercerita lanjut, Imran yang merupakan adik kepada pensohor media sosial (influencer) dan pelakon, Nabil Aqil hingga kini terpaksa akur dan tidak boleh lari daripada bayangan abang kandungnya.
Dianugerahkan wajah mirip abangnya, dengan nada tegas Imran memberitahu, dia yakin dan percaya, tidak akan terus berada dalam bayangan mahupun menumpang populariti abangnya.
“Siapa yang kenal saya secara peribadi, akan tahu saya dan abang saya sangat berbeza. Minat kami pun tak sama, cuma kami dilahirkan dalam platform sama.
“Jadi, saya percaya tak ramai yang akan cakap saya duduk dalam bayangan dia apatah menumpang populariti dia,” katanya.
Ditebak soal cinta, hati dan perasaan, bekas kekasih kepada tunang penyanyi Yonnyboii itu mengambil pendekatan untuk kekal fokus pada bidang seni yang lebih dicintainya kini.
Katanya, apa yang pernah berlaku biarlah berlalu walaupun mengakui agak perit untuk menerima kenyataan pada awalnya.
“Biarpun lebih setahun menyulam cinta, namun kami tidak ada jodoh. Saya memilih untuk tidak membuka lagi kisah lalu, sebaliknya memandang ke depan.
“Saya doakan mereka berbahagia. Cuma, buat diri saya, beri sedikit ruang dan masa untuk terus kuat melalui segalanya,” katanya menutup aksara kata.