PETALING JAYA – Pelakon dan juga pengarah berbakat besar, Nam Ron berkongsi rasa seronok dan teruja apabila diberi peluang buat pertama kali untuk berjalan di atas pentas peragaan sebagai model walaupun mengakui bimbang akan diketawakan penonton.
Bercakap kepada Kosmo! Online, Nam Ron atau nama lengkapnya Shahili Abdan, 52, dia tekad menyahut cabaran menjadi model memperagakan pakaian daripada jenama Neonate kerana mahu mencuba sesuatu yang belum pernah dia lakukan sebelum ini.
“Saya rasa seronok. Mula-mula bimbang juga, risau takut orang gelak sebab ada ‘model tua’. Waktu berjalan, takut pula tersadung kaki dan jatuh tersungkur. Itu benda yang paling saya risau.
“Tapi bila dah yakin, baru saya rasa okay. Ini pengalaman baharu saya dan rasa seronok pula,” katanya ketika ditemui di Minggu Fasyen Kuala Lumpur 2021 (KLFW2021), semalam.
Kata pelakon yang pernah memenangi anugerah Pelakon lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) itu lagi, dia terbuka untuk menerima pelawaan daripada generasi baharu kerana menganggap dirinya tidak pernah tua.
“Saya tidak tua. Tua itu hanya pada nombor. Saya sentiasa meletakkan diri saya sebagai orang muda, jiwa muda.
“Saya sentiasa berkawan dengan orang-orang muda. Malah kawan-kawan saya sendiri kebanyakannya berusia sekitar 20-an hingga 30-an. Sebab itu jiwa saya muda sebab saya suka benda-benda yang orang muda buat,” jelasnya.
Tambah pengarah filem One Two Jaga itu lagi, berkawan dengan orang muda juga boleh menyuntik perkara-perkara baharu dalam lakonan.
“Saya perhatikan jiwa orang muda ini, mereka mempunyai jiwa yang panas. Nak buat macam-macam benda. Nak terokai pelbagai perkara.
“Jadi itu yang membezakan orang yang berumur dengan mereka (orang muda). Orang dah berumur, mereka dah selesa dengan apa yang ada dan tidak mahu terokai benda-benda baharu,” katanya.
Dari sudut kreativiti pula, Nam Ron berpendapat bahawa dunia ini dibentuk oleh jiwa orang muda dan bukannya mereka yang telah berusia.
“Setiap generasi akan timbul kelompok-kelompok orang muda. Saya pernah muda dan dah melepasi waktu itu (usia muda).
“Tapi saya masih terikat dengan orang muda, jadi saya tahu tuntutan dan kemahuan mereka,” jelas Nam Ron. – K! ONLINE