PETALING JAYA – Penyanyi berbakat besar Aina Abdul puas apabila akhirnya dapat beraksi di pentas berprestij Panggung Sari, Istana Budaya pada Sabtu lalu, sekali gus mengubati kerinduannya untuk menyanyi di pentas besar.
Ujar Aina atau nama lengkapnya Nurul Aina Abdul Ghani, 28, kerinduan yang tertahan selama selepas hampir dua tahun tidak menyanyi di hadapan ratusan penonton dan mendengar sorakan peminat impak pandemik Covid-19 kini terubat dengan penuh makna.
“Ketika menyanyi di atas pentas Istana Budaya, saya dapat merasai perasaan yang sama ketika bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu ke-34 pada 2019 menerusi lagu Sumpah.
“Sudah lama saya tidak merasai perasaan itu. Rasa berbaloi sangat walaupun tak puas sebenarnya. Tapi tidak mengapa sebab saya akan bekerja lebih keras lagi untuk persembahan yang akan datang,” ujarnya kepada Kosmo! Online.
Aina yang ditemui pada malam Konsert Patriotik Tanah Airku pada Sabtu lalu turut berkata, persembahannya pada malam konsert tersebut boleh dikatakan sebagai sesi ‘pemanas badan’ sebagai persediaan menjelang persembahan solonya, A Night With Aina Abdul pada 16 dan 17 Disember nanti.
“Konsert Patriotik Tanah Airku ini saya ibaratkan sebagai sesi pemanas badan untuk membuat persembahan pada malam A Night With Aina Abdul . Malam itu nanti, saya akan memberikan persembahan yang lebih bertenaga.
“Saya mahu penonton yang menyaksikan persembahan saya nanti menangis dan berpeluh bersama-sama. Sebab peluang itu bukan mudah untuk saya perolehi,” katanya.
Dalam pada itu, Aina turut melahirkan rasa syukur apabila tiket kedua-dua malam persembahannya itu habis dijual hanya dalam masa dua hari.
“Alhamdulillah. Secara keseluruhannya sebanyak 600 tiket berjaya dijual dalam masa dua hari. Terima kasih kepada peminat saya terutamanya Ainations kerana menyokong perjalanan seni saya,” jelasnya. – K! ONLINE