fbpx

Trendy bergaya dengan fesyen ala tentera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TAMPIL feminin gaya military dengan rekaan skirt atau gaun dalam fabrik lembut.

Oleh FAIZAL HAMID

ANTARA trend paling popular kita lihat di pentas peragaan antarabangsa adalah pengaruh kombinasi inspirasi military (tentera) dan gaya feminin.

Secara psikologi, sama ada kita akui atau tidak, apabila memakai pakaian dengan elemen military, ia akan memberi rasa kuasa dan prestij dalam penampilan.Trend itu cukup chic dan edgy digayakan di jalanan serta di mana sahaja.

Gaya dan elemen military sememangnya telah lama muncul dalam trend fesyen kontemporari.
Pereka legenda seperti Coco Chanel popular dengan rekaan sut kelasi, Yves Saint Laurent dengan rekaan kot pea dan koleksi safari di era 60-an serta jenama Burberry dengan kot trench begitu ikonik.

Kesemuanya diinspirasikan daripada elemen ketenteraan. Ramai selebriti Barat dan peminat fesyen cukup gemar menggayakan salah satu helaian dengan inspirasi military untuk memberi impak yang kuat dan berani dalam penampilan.

Bagi menyerlahkan lagi trend tersebut dalam interpretasi kontemporari, para pereka antarabangsa cukup kreatif dan inventif dalam menghasilkan helaian pakaian dengan menyuntik dekorasi inspirasi ketenteraan seperti epaulets (simbol pangkat), butang emas dan variasi teknik passementerie atau sulaman.

Antara rekaan inspirasi military popular adalah jaket cropped bomber dipadankan dengan top warna kontras dan kaca mata aviator.

Fabrik khaki, kulit dan suede mendominasi koleksi trend terkini itu.

Kombinasi rona hijau zaitun, biru kelasi, kelabu dan hitam dipadankan dengan sedikit rona terang atau kontras, contohnya jingga dan kuning atau reka corak menarik pada helaian pakaian, beg atau aksesori dapat membangkitkan aura ceria pada si pemakainya.

1. Vest gaya tentera

Antara rekaan pakaian elemen military yang perlu ada dalam almari wanita adalah seperti interpretasi jaket dan vest gaya tentera, seluar kargo, baju panas gaya dengan jalur inspirasi kelasi, kot pea dalam rona biru kelasi atau hitam adalah antara gaya klasik yang malar segar selamanya.

2. Suai padan bersama pakaian kasual
Gayakan baju panas jalur, jean dan sneakers putih untuk penampilan cukup chic dan fashionable. Perlu diingat, helaian pakaian military perlu disuai padan dengan elemen rekaan kasual seperti jean supaya ia tidak kelihatan seperti kostum tentera.

3. Aksesori

Selain daripada itu, cuba bereksperimentasi dengan kasut strappy wedges, aksesori jalinan kulit (braided leather) dan hiasan barang kemas dalam rona emas antik, serta beg dengan rekaan sofistikated dan berstruktur untuk gaya polished penuh kewanitaan.

GAYAKAN jaket inspirasi military dengan seluar khaki untuk kelihatan lebih bergaya dan trendy.

4.Feminin

Untuk tampil lebih feminin, cuba padankan gaya military dengan rekaan skirt atau gaun dalam fabrik lembut, berikan penekanan pada pinggang dengan tali pinggang yang hebat.

5. Berani bereksperimentasi

Kunci utama dalam mengadaptasi trend tersebut dengan jayanya adalah berani bereksperimentasi untuk lebih berkeyakinan dan bersahaja apabila menggayakannya.
Paling penting adalah gaya ekspresi individu yang tersendiri.

Bagi yang mahu menggayakan pakaian yang mempunyai reka corak celoreng, warna dan fabrik inspirasi ketenteraan untuk lebih edgy, padankan jaket warna hijau zaitun dengan baju-T putih dan seluar atau skirt khakis ataupun jean.

Jika anda mahu memakai pakaian dengan reka corak celoreng, hadkan hanya memakai satu sahaja pakaian dengan reka corak tersebut pada satu masa.

Dapatkan seluar khakis yang terdapat pelbagai variasi di pasaran. Ia cukup stylish dan boleh dipadankan dengan apa sahaja.
—————————————————————————————————————————
FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI