KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Kebangsaan ke-63 tahun ini bakal dimeriahkan dengan tayangan pelbagai kandungan baharu berkisar tentang keunikan sejarah Malaysia yang disediakan secara eksklusif oleh penyedia perkhidmatan televisyen bersatelit, Astro.
Pengisian kandungan eksklusif Merdeka dan dokumentari akan ditayangkan di saluran Astro, Astro GO dan On Demand bermula 25 Ogos hingga 17 September depan, termasuklah telefilem ‘Aku Posmen, Kau Latifah, Dia Joseph’ yang akan ditayangkan di Astro Ria saluran 104 (HD) dan 123, pada 30 Ogos, bermula pada pukul 5.00 petang.
Telemovie ini memaparkan kisah seorang wanita (Lisa Surihani) meneruskan kehidupannya setelah kematian suami dengan bantuan orang yang tersayang.
Naib Presiden Strategi Kandungan, Perniagaan Antarabangsa dan GenNext Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin berkata, dokumentari bertajuk Malaysia vs Covid-19 merupakan antara kandungan baharu yang bakal ditayangkan kepada umum sempena Hari Kebangsaan.
Katanya, dokumentari Malaysia vs Covid-19 adalah berkisar tentang kisah anak-anak Malaysia daripada pelbagai lapisan yang telah bersatu dan berganding bahu dengan semangat #KitaJagaKita, tanpa mengira bangsa dan agama untuk menentang Covid-19.
“Kami ingin mendedikasikan dokumentari ini kepada wira-wira barisan hadapan negara ataupun ‘frontliners’ yang rela menyabung nyawa demi kesejahteraan rakyat Malaysia sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.
“Ia bakal ditayangkan di saluran Astro Ria, AEC, Vinmen HD, Hello dan Awani bermula pukul 6 petang, 12 September depan,” katanya pada majlis pelancaran kempen terbitan Astro ‘Malaysiaku, Kita Selamat Bersama’ di sini baru-baru ini.
Tambahnya, antara kandungan baharu lain yang bakal menemui pelanggan setia Astro termasuklah dokumentari Bertakhta di Hati Rakyat dan Judi Dench’s Wild Borneo Adventure.
“Dokumentari Bertakhta di Hati Rakyat arahan Basir Siswo menyingkap kehidupan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui penceritaan dua bahagian.
“Ia akan ditayangkan di saluran 105 Astro Prima bermula pukul 9.30 malam pada 30 dan 31 Ogos ini,” ujarnya.
Kempen ‘Malaysiaku, Kita Selamat Bersama’ yang bermula 25 Ogos hingga 17 September depan menerapkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat bagi mengukuhkan perpaduan di negara ini.