JERANTUT – Mayat seorang lelaki Melayu yang dipercayai mengalami masalah mental ditemui berhampiran Kolej Komuniti Jerantut di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Azman Mat Kamis berkata, mayat Muhammad Zawawi Mohamad, 50, ditemukan oleh orang awam tanpa pakaian kira-kira pukul 8 pagi ini.
“Menerusi maklumat yang diperoleh lelaki berasal dari Kampung Doja, Jerantut ini masih bujang dan merupakan seorang penganggur.
“Mangsa mengalami komplikasi sakit mental sejak 10 tahun lalu akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya dan mendapat rawatan rawatan di Hospital Besar Johor Bharu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Azman, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Jerantut untuk bedah siasat dan siasatan awal kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut serta tiada unsur jenayah.-K! ONLINE