KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka 13 kertas siasatan berkaitan dakwaan kes salah guna kuasa dan rasuah sepertimana yang didedahkan oleh akaun media sosial Edisi Siasat.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kertas siasatan itu dibuka bagi menyiasat dan juga mengenal pasti siapa yang berada di belakang Edisi Siasat.
“Tiap perkara yang dinyatakan oleh Edisi Siasat kebanyakannya merupakan berita yang diada-adakan untuk mewujudkan suasana sensasi dan setiap dakwaan yang dinyatakan kalau ia melibatkan PDRM, memang kita akan salurkan kepada Jabatan Integriti dan Pemathun Standard (JIPS) untuk disemak kesahihannya.
“Setakat ini kita masih lagi menjalankan siasatan dan kita harap serta kita percaya dalam tempoh yang terdekat ini kita akan dapat mengenalpasti siapakah mereka di belakang tadbir Edisi Siasat ini,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan kempen pencegahan jenayah komersial (jenayah dalam talian) 2021 di Berjaya Times Square, di sini hari ini.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri Melaka katanya, polis kini dalam siap siaga untuk memastikan setiap SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk semua aktiviti pilihan raya dipatuhi.
“Saya akan turun ke negeri Melaka untuk mendengar taklimat dari Ketua Polis Negeri Melaka dan juga untuk meneliti SOP supaya gerak kerja dan panduan seperti aktiviti kempen pilihan raya dipatuhi,” ujarnya. – K! ONLINE