fbpx

Operasi restoran jual siakap tidak terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUNJUNG melihat pertunjukan memberi makan ikan di Restoran Terapung Sas Rimba di Langkawi.

LANGKAWI – Meskipun mencetuskan kontroversi kerana menjual hida­ngan siakap sehingga mencecah ribuan ringgit, Restoran Terapung Sas Rimba di Taman Geoforest Karst Kilim di sini masih menerima pengunjung seperti biasa.

Pemiliknya, Norasyikin Musa berkata, setakat ini jumlah pe­ngunjung ke restorannya tidak berubah walaupun tular baru-baru ini.

“Perniagaan masih berjalan seperti biasa dan setakat ini, tiada apa yang berubah.

“Cuma saya berasa sedikit tertekan sebab agak sibuk hendak menguruskan restoran dan perlu menyediakan dokumen-dokumen yang diminta KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) bagi tujuan siasatan mereka,” katanya di sini semalam.

KPDNHEP sebelum ini telah melakukan siasatan ke atas restoran tersebut dan mengeluarkan notis meminta Norasyikin untuk melampirkan dokumen sebagai bukti harga yang diletakkannya adalah munasabah.

Sementara itu, tinjauan terhadap pelanggan di situ mendapati mereka mengetahui bahawa restoran tersebut sudah tular tetapi perkara itu tidak menjadi masalah.

Seorang pengunjung dari Seri Kembangan, Selangor, Nadirah Mohd. Radoan, 31, berkata, dia melihat menu dan harga yang ditawarkan sebelum memesan makanan.

“Saya diberitahu oleh pemandu bot mengenai restoran ini telah tular tetapi saya tidak berasa risau untuk memesan makanan kerana harga sudah ditunjukkan dalam menu.

“Kita sebagai pelanggan boleh memilih untuk memesan makanan yang mana kerana kita sahaja yang tahu tahap kemampuan kita,” katanya yang hanya memesan minuman sementara berehat ketika pakej lawatan ke kawasan paya bakau di sini.

Seorang lagi pengunjung dari Batu Gajah, Perak, Norhafidza ­Idayu Azman, 29, berkata, dia hanya menyedari bahawa restoran yang dikunjunginya itu adalah restoran yang tular semasa memesan makanan.

“Ada harga diletakkan bagi setiap jenis makanan dalam menu yang disediakan, jadi saya memesan makanan mengikut kemampuan saya.

“Harga bagi makanan laut adalah bagi setiap 100 gram (g), kalau tidak berhati-hati mungkin ada pelanggan menganggap harga tersebut adalah bagi 1 kilogram (kg) dan akan berasa terkejut semasa membayar,” katanya yang datang bersama keluarga. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI