AYER KEROH – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berkemungkinan besar menyaksikan pertandingan lebih tiga penjuru di kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Kerusi DUN yang telah hampir pasti berlaku pertembungan empat penjuru adalah DUN Paya Rumput, DUN Sungai Rambai, DUN Gadek dan DUN Duyong.
Ia berikutan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang baharu dua setengah tahun usia penubuhannya mengumumkan meletakkan calon di kerusi terbabit.
Itu belum termasuk pencalonan Bebas seperti bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang mungkin bertanding semula.
Sebuah gerakan gabungan calon Bebas digelar Gagasan Bebas Piagam Rakyat membayangkan sekurang-kurangnya 18 calon Bebas bertanding kerusi DUN Melaka kali ini.
Bagaimanapun, angka sebenar calon PRN Melaka hanya akan diketahui selepas proses penamaan calon oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di 28 DUN Melaka selesai hari ini.
Difahamkan, setakat 4 November lalu, sebanyak 254 borang penamaan calon bagi PRN Melaka telah terjual.
Profesor Adjung Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Profesor Dr. Jeniri Amir berkata, pertandingan lebih tiga penjuru sedikit sebanyak memberi cabaran kepada calon daripada gabungan parti politik utama.
“Pertembungan utama adalah blok Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN). Bagaimanapun saya lihat pertandingan lebih tiga penjuru menguntungkan BN dan merugikan PH serta PN.
“Ia kerana kita tahu pengundi tegar BN di Melaka setia kepada parti seperti yang disaksikan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) meskipun ada penyandang yang mungkin tidak berpuas hati tidak dicalonkan semula kali ini.
“Implikasi perpecahan pengundi adalah dalam kalangan pengundi yang tidak mengundi calon BN. Calon parti selain BN, PN dan PH atau Bebas akan ‘kacau daun’ PH dan PN,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Empat parti yang telah mengesahkan akan bertanding PRN Melaka setakat semalam adalah BN, PN, PH dan Putra, manakala Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengambil pendirian saat akhir untuk berkecuali.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd. Muis berpandangan pertandingan lebih tiga penjuru akan memberi kelebihan buat BN dan PH.
Menurutnya, BN dan PH memiliki akar umbi yang kuat di Melaka dan calon yang diketengahkan lebih dikenali masyarakat setempat berbanding calon PN.
Bagaimanapun, katanya, kewujudan akar umbi PN untuk berdepan PRN Melaka tidak boleh dinafikan berikutan kerjasama Pas, namun Pas tidak menang apa-apa kerusi di Melaka pada PRU-14. -K! ONLINE