PASUKAN Tuneboss-Pink Racing bertekad untuk bangkit menjelang perlumbaan akhir Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas bergelut dengan jentera ketika pertama kali bersaing di Litar Tangkak, Johor semalam.
Menurut pengurus pasukan, Atikah Azwar, masalah jentera telah dikesan sewaktu sesi latihan bebas semalam, namun pasukannya tidak berupaya mendapatkan pelarasan yang sempurna pada perlumbaan pusingan ke-7 dan ke-8 tersebut.
“Perlumbaan kali ini kami tidak meletakkan sebarang sasaran kerana ini merupakan pertama kali pasukan beraksi di Tangkak dan pasti ia bukan satu tugas yang mudah buat pelumba mahupun mekanik.
“Saya sangat berpuas hati kerana pelumba masih mampu memberikan satu tentangan hebat walaupun jentera tidak berada dalam keadaan yang optimum.
Bagaimanapun, keputusan yang kami capai di sini adalah pengalaman terbaik buat pasukan terutama untuk mengutip data.
“Meskipun tiada sasaran tetapi kami agak kecewa kerana setiap pasukan mahu keputusan terbaik. Namun, keputusan ini bukan pengakhiran dan kami tekad bangkit menjelang perlumbaan terakhir di Sepang nanti,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Pada perlumbaan tersebut, Saiful Azhary gagal menamatkan kedua-dua perlumbaan, manakala Muhamad Harith Farhan Baharin berjaya mengutip enam mata selepas menamatkan saingan tempat ke-10 dan ke-14.
Sementara itu, Siti Norafizah Muhammad terlepas mata pada pusingan ke-7, namun berjaya perbaiki kedudukan dengan meraih tempat ke-15 pada pusingan ke-8.
Setakat ini, Tuneboss-Pink Racing berada di tangga keenam keseluruhan dengan pungutan mata sebanyak 98 mata.