GEORGE TOWN – Kira-kira 500 penduduk Pintasan Kelicap di Bayan Lepas di sini kesal dengan arahan supaya mengalihkan tanaman yang telah diusahakan mereka sejak 20 tahun lalu sekali gus mendesak campur tangan kerajaan negeri.
Mereka berasa kecewa selepas penduduk di 84 buah rumah teres di kawasan itu menerima dua notis daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bertarikh 22 Oktober dan 29 Oktober lalu.
Semalam, seramai 30 penduduk berhimpun secara aman bagi membantah arahan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dan merayu agar tanaman mereka tidak dimusnahkan.
Wakil penduduk, Hanani Hassan, 37, berkata, pihaknya merayu MBPP menarik balik notis arahan supaya mengalihkan tanaman dan struktur tanpa kebenaran di bahu jalan berhadapan kediaman penduduk.
Menurut Hanani, terdapat lebih 50 tanaman bermusim seperti harum manis, jambu, ciku, belimbing dan tumbuhan herba ditanam di kawasan itu.
“Kami terkejut menerima dua notis berserta lampiran gambar yang meminta penduduk mengalih dan menebang pokok dalam masa 14 hari bermula dari tarikh notis berkenaan dikeluarkan.
“Arahan yang diberikan tidak begitu jelas. Sepatutnya MBPP turun padang bertemu penduduk sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya kepada pemberita semalam.
Turut hadir Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Mohideen Abdul Kader.
Menurutnya, penduduk yang terdiri daripada warga emas telah mengusahakan tanaman sejak berpindah ke situ 20 tahun lalu dan hasilnya diagihkan kepada komuniti.
“Kenapa baru sekarang hendak bertindak,” soalnya.
Sementara itu, penduduk, Samsudin Hussain, 80, pula memberitahu, tanaman yang diusahakan mereka memberi pelbagai manfaat termasuk sebagai tempat berteduh dan mengelak masalah debu akibat pergerakan kenderaan di laluan utama.
“Tanaman hijau ini merupakan kelebihan bagi kami dan secara tidak langsung membangkitkan semangat kejiranan dalam kalangan penduduk yang berbilang bangsa,” ujarnya. -K! ONLINE