PARIS – Ketua jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino memuji prestasi cemerlang Neymar yang meledak dua gol dalam kemenangan 3-2 ke atas Bordeaux pada aksi Ligue 1 awal pagi semalam.
Kecemerlangan penyerang Brazil berusia 29 tahun itu menyaksikan Les Parisiens dilihat tidak begitu merasai ketiadaan Lionel Messi yang mengalami kecederaan sebelum perlawanan di Stade de Bordeaux tersebut.
Dua gol tersebut juga menamatkan penantian Neymar yang kali terakhir menjaringkan gol buat PSG dalam saingan Ligue 1 ketika menang 2-1 ke atas Lyon pada September lalu.
“Ney (Neymar) bermain dengan amat baik hari ini. Malah, dua gol ini layak diberikan pujian sebenarnya.
“Perlawanan hari ini juga membuktikan kerjasama antara dia dengan Kylian (Mbappe) yang turut meledak satu gol. Saya gembira kerana ketajaman mereka berdua di depan gawang lawan,” kata Pochettino.
Bagaimanapun, PSG perlu bimbang dengan kelonggaran barisan pertahanan apabila membenarkan Bordeaux bangkit meledak dua jaringan selepas mereka mendahului tiga gol menerusi Neymar dan Mbappe.
Mujur kebangkitan ditunjukkan Bordeaux menerusi dua gol daripada Alberth Elis dan M’Baye Niang sudah terlewat untuk menghalang PSG membawa tiga mata penuh dalam aksi tersebut.
Kemenangan itu menyaksikan PSG meneruskan penguasaan di persada liga dengan kelebihan besar 10 mata ke atas pencabar terdekat, RC Lens yang kini menduduki tangga kedua. – AGENSI