YAN – Kehidupan seorang wanita tidak seceria dahulu apabila suami yang diharapkan untuk menyara keluarga hanya mampu duduk di rumah selepas disahkan menghidap kanser usus sejak lima bulan lalu.
Zauyah Khalid, 50, berkata, dia terpaksa menggalas tugas mencari nafkah sebagai pembantu kedai makan selepas suaminya, Muhammad Zohir Ahmad, 62, tidak lagi mampu melakukan kerja-kerja kampung.
Katanya, suaminya terpaksa menggunakan beg stoma untuk membuang najis sejak menjalani pembedahan pada Jun lalu di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
“Kanser suami berada pada tahap dua. Sejak dibedah, dia sering mengadu sakit dan tidak lagi boleh bekerja menyebabkan kami kehilangan punca pendapatan.
“Kini saya buntu memikirkan kos perubatan suami yang memerlukan RM400 sebulan untuk berulang alik ke HSAH dan membeli segala keperluan seperti beg stoma, makanan khas yang lembut bagi mengelakkan suami bertambah sakit kerana ususnya rosak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Titi Teras di sini semalam.
Tambahnya, segala wang simpanan telah habis digunakan untuk menanggung kos pembedahan dan rawatan selama suaminya ditempatkan di HSAH.
Dakwa Zauyah, dia tidak pernah menerima sebarang bantuan daripada mana-mana agensi, manakala dua anak lelakinya berusia 20 dan 25 tahun bekerja sebagai buruh, namun pendapatan mereka masih tidak mencukupi.
Katanya, dia juga resah apabila dimaklumkan perlu menyediakan sejumlah wang untuk membiayai kos pembedahan memasukkan semula usus suaminya oleh pihak HSAH dalam masa terdekat.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Agro 2005-1100-0108-146 milik Zauyah Khalid atau menghubunginya di talian 011-1549 5279. -K! ONLINE