REZEKI merentas negeri dimanfaat sepenuhnya hampir seluruh masyarakat bermula pertengahan Oktober lalu untuk pulang ke kampung bertemu ibu bapa dan juga saudara-mara.
Kini hajat tersebut dapat direalisasikan, tetapi tempoh masa bercuti dirasakan terlalu singkat seolah mencemburui warga kota untuk berada lebih lama di kampung melepas rindu dendam terhadap keluarga.
Namun di sebalik kegembiraan pulang ke kampung dan pastinya ibu bapa teruja menyambut kunjungan anak, menantu, cucu dan cicit, ada hati yang berada dalam kegundahan dan kebimbangan sekiranya mereka yang menjenguk ke muka pintu membawa gejala risiko penyakit berbahaya.
Bagi warga emas yang peka dengan persekitaran semasa, ada yang sudah bersedia memakai pelitup muka dan menyediakan sanitasi tangan sebelum anak dan cucu cicit masuk ke dalam rumah.
“Mujur tidak perlu mengimbas Mysejahtera,” gurauan penulis disambut dengan hilai tawa saudara-mara, lantas tangan dihulur untuk bersalaman agak berat disambut oleh mereka.
“Minta maaf Mak Usu, sebabkan Covid-19, kami tak berani bersalam-salaman, harap Mak Usu tidak kecil hati,” jelas salah seorang daripada saudara terdekat kepada penulis secara ikhlas sebaik melangkah masuk ke rumah beliau di Seberang Perai baru-baru ini.
Adat berkunjung agak kekok rasanya jika tidak bersalaman dengan tuan rumah, tetapi kini sudah menjadi tradisi baharu selain ada juga yang mengelak untuk duduk berdekatan apatah lagi mahu dipeluk cium seperti sebelum ini.
Bersandarkan perbualan di kampung, ternyata mereka agak takut dengan kunjungan adik beradik dan anak-beranak ke kampung memandangkan tahap kesihatan mereka ada yang tidak mengizinkan dan berisiko dijangkiti penyakit berjangkit.
Kisah sedih di dada akhbar yang menceritakan mengenai kunjungan anak, cucu-cicit dan menantu pulang ke kampung telah menyebabkan punca kesakitan dan kematian insan tersayang kerana dijangkiti virus maut itu sebenarnya meninggalkan seribu keinsafan kepada mereka.
Seharusnya kisah sedih itu tidak perlu berulang lagi dalam keluarga kita dalam pasca pandemik meskipun golongan dewasa rata-ratanya telah divaksin.
Mereka juga sanggup berkurung di dalam rumah dan hanya keluar ke pekan atau ke pasar jika perlu sahaja serta juga sudah membiasakan diri dengan pembelian secara online seiring norma baharu dalam kehidupan sekarang.
Kegigihan mengikut SOP dan menjaga tahap kesihatan masing-masing dalam krisis kesihatan ini menunjukkan bahawa mereka juga mahu terus sihat bagi mendepani masa depan dan juga memberi tumpuan terhadap amal ibadat masing-masing.
Hormatilah pendirian mereka sekiranya ada yang menolak untuk tidak menerima tetamu yang mahu berkunjung dan juga bersalaman serta peluk cium untuk melepaskan rindu terpendam.
Jangan pentingkan diri sendiri sehingga ada yang terkorban akikat keegoan dan keangkuhan masing-masing. -K! ONLINE