MACHANG – Dua sekawan dicekup polis selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan mengedar sebanyak 1,600 biji pil kuda dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Hutan Puteh di sini, Rabu lalu.
Kedua-dua suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira pukul 11.40 pagi semasa sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang menjalankan serbuan di rumah tersebut.
Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy berkata, pemeriksaan di dalam poket seluar salah seorang suspek telah menemui sebanyak 1,590 biji pil kuda yang disorok dalam bungkusan berwarna biru.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu, polis telah menemui 10 biji lagi pil sama di dalam sebuah tin yang berada di atas lantai rumah.
“Kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM16,000. Selain itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM2,000 dan sebuah kereta jenis Proton Wira bersama kuncinya.
“Selain Machang, kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di beberapa daerah lain di negeri ini. hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya pada sidang akhbar di IPD Machang di sini hari ini. – K! ONLINE.