JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi Johor Bahru di sini mengarahkan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abdul Latif Bandi untuk membela diri bersabit 37 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Selain Abdul Latif, Mahkamah Tinggi turut memerintahkan anak lelakinya, Ahmad Fauzan Hatim dan perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd Raub untuk membela diri atas pertuduhan sama.
Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan tersebut selepas selesai prosiding hari ini sekaligus mengetepikan keputusan dibuat Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 21 April 2019 yang membebas dan melepaskan ketiga-tiga tertuduh.
Timbalan Pengarah I, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, Mahkamah Tinggi membuat keputusan bahawa keputusan Mahkamah Sesyen terdahulu adalah salah.
“Mahkamah Sesyen telah tidak mempertimbangkan banyak isu-isu penting dalam kes tersebut.
“Dan Hakim juga telah menetapkan jaminan berjumlah RM1.1 juta untuk ketiga-tiga tertuduh dengan cagaran tanah,” katanya.
Sementara itu, peguam tertuduh, Datuk Salehuddin Saidin pula memberitahu, keputusan Mahkamah Tinggi itu bukan pengakhiran buat anak guamnya.-K! ONLINE