Oleh MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
SEREMBAN – Bimbang berulangnya lagi situasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu, seorang pengusaha ternakan udang galah mengambil langkah membuka sebuah kolam pancing rekreasi sejak sebulan lalu.
Mohamad Izzudin Jizan, 32, berkata, kolam memancing rekreasi itu dibukanya sebagai langkah berjaga-jaga selepas pasaran ternakan udang galah yang diusahakannya terjejas sepanjang pelaksanaan PKP.
“Pasaran utama ternakan udang galah hidup sememangnya dari Singapura, permintaan dari sana agak tinggi sebelum ini namun ekoran penularan Covid-19 dan PKP, memang tiada permintaan kerana restoran dan kolam pancing rekreasi di sana juga tutup.
“Memang tujuan utama saya membuka kolam pancing udang galah ini adalah untuk pelbagaikan perniagaan, lagipun saya mempunyai kolam ternakan sendiri. Selain itu, ia juga sebagai langkah berjaga-jaga, bimbang berlaku lagi PKP, jualan udang galah hidup di pasaran pasti akan terkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Kolam Pancing Jidin Jenggo yang terletak di Jalan Seremban-Kuala Pilah di sini hari ini.
Menurut Mohamad Izzudin, selepas sebulan beroperasi, sambutan orang ramai terhadap kolam pancing udang yang diusahakan itu sangat menggalakkan.- K! ONLINE.