SEPANG – Penunggang motosikal yang terbabit dengan insiden kanvas ‘terbang’ hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang bagi membuat laporan hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md. Noor Aehwan Mohammad berkata, mereka hadir ke IPD Sepang bagi membantu siasatan.
Menurutnya, berdasarkan rakaman percakapan penunggang motosikal, Ali Zahid, kejadian berlaku ketika dia bersama rakannya yang menaiki motosikal Yamaha LC135 dar arah Puchong menghala ke Cyberjaya.
“Setibanya di Jalan Cyberjaya (Dengkil)/Puchong dan ketika menunggang, motosikal di lorong tengah, tiba-tiba sebuah kanvas dari sebuah lori yang berada di hadapannya telah tercabut dan melayang terkena pada bahagian hadapan motosikal.
“Keadaan ini telah menyebabkan pengadu hilang kawalan serta terbabas ke kiri jalan dan terlanggar kenderaan lain yang berada di lorong sebelah kiri motosikal,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Md. Noor Aehwan berkata, pengadu yang berusia 26 tahun memaklumkan, ekoran kejadian tersebut dia dan rakannya mengalami kecederaan luka-luka pada tangan kiri dan kanan, bahu kanan, lengan tangan kaki, paha kanan serta lutut kanan dan punggung.
“Pengadu turut memaklumkan, selepas kejadianberkenaan, pemandu lori tersebut telah berhenti di tepi jalan memberikan bantuan kepadanya dan rakannya serta membawa mereka ke klinik bagi mendapatkan rawatan.
“Mangsa memberitahu kelewatan membuat laporan polis adalah kerana beranggapan kes kemalangan tersebut telah selesai secara baik,” ujarnya.
Tambah Md Noor Aehwan, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 42 APJ 1987. – K! ONLINE