KLANG – Beban hidup yang terpaksa ditanggung seorang duda lima anak selepas menderita penyakit kanser tulang sejak empat tahun lalu memaksanya untuk meminta ihsan dan bantuan orang ramai bagi meringankan kesengsaraan yang kini dihadapinya.
Nor Mazaffe Mazlan, 46, berkata, kanser tulang yang dihidapnya kini berada pada tahap empat sehingga menyebabkan bahagian tengkuknya patah beberapa tahun lalu.
Katanya, keadaan itu turut memaksanya berhenti kerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat Pelabuhan Utara di sini.
“Saya mendapat pencen ilat sebanyak RM2,500 setiap bulan yang mana duit itu saya gunakan untuk rawatan radioterapi dan kemoterapi.
“Wang tersebut juga dimanfaatkan untuk keperluan lima anak saya yang berusia sepuluh hingga 17 tahun dan masih bersekolah.
“Keadaan saya bertambah teruk sejak dua bulan lalu dengan sel kanser telah merebak sehingga menyebabkan kaki sebelah kanan tidak mampu bergerak,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di sini semalam.
Bercerita lanjut, Nor Mazaffe memberitahu, dia telah bercerai dengan isterinya sejak tiga tahun lalu dan kini hanya mampu terlantar di atas katil.
“Buat masa ini, segala keperluan rumah diuruskan oleh anak-anak saya.
“Bagaimanapun, saya tetap bimbang dengan masa depan mereka terutama bagi hal-hal pembelajaran di rumah dan sekolah,” ujarnya.
Justeru kata beliau, orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepadanya atas nama Nor Mazaffe menerusi akaun CIMB bernombor 7054158263.