fbpx

Tipu gelang palsu selamatkan warga emas jadi mangsa ragut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rokiah menunjukkan salinan laporan polis mengenai kejadian yang berlaku di rumahnya di Kadok, Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU – Taktik seorang warga emas yang mengatakan seutas gelang yang dipakai merupakan barangan tiruan kepada seorang lelaki berjaya menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa ragut.

Mangsa, Rokiah Yusoff, 60, berkata, kejadian pada pukul 1.15 petang di Kadok di sini semalam berlaku semasa semua kaum lelaki pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

Menurutnya, dia baru pulang ke rumahnya dengan memandu sebuah kereta jenis Proton Iswara sebelum didatangi seorang lelaki dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an yang telah mengekorinya dengan motosikal.

Ujarnya, selepas turun daripada kereta, dia sempat menyapa lelaki itu sebelum suspek mematikan enjin motosikalnya.

“Suspek kemudian mengeluarkan sebilah parang panjang yang dibalut kain hitam dalam raga motosikal dan mengarahkan saya supaya diam. Lelaki itu menyuruh saya menyerahkan seutas gelang emas yang dipakai ketika itu.

“Terkejut dengan situasi itu, saya mengatakan bahawa gelang emas yang dipakai ini merupakan barangan kemas tiruan sedangkan ia memang tulen,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Rokiah, selepas menyatakan helah itu kepada suspek, dia terus menjerit meminta tolong dan berlari masuk ke rumah jiran sebelum membuat laporan di Balai Polis Ketereh di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu semalam.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI