JOHOR BAHRU – Tindakan seorang lelaki warga Bangladesh yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman di platform media sosial Tik Tok mengundang padah apabila dicekup polis di Jalan Kempas Batu 7 1/2, Jalan Bakri, Muar dekat sini semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan pada pukul 7.30 petang ketika lelaki itu berada di tepi jalan.
Katanya, Polis Daerah Muar telah menerima satu laporan polis berkenaan video yang tular di media sosial oleh suspek yang mengeluarkan kenyataan agama Hindu, Muslim dan perayaan Deepavali.
“Pada hari yang sama, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar telah berjaya menangkap suspek terbabit di tepi jalan.
“Hasil siasatan mendapati permit suspek telah tamat tempoh dan telah tinggal lebih masa di negara ini,” katanya pada sidang akhbar di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Larkin, di sini hari ini.
Ayob Khan memberitahu, suspek ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan lanjut dan kes itu disiasat di bawah 505 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.-K! ONLINE