LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui pasukannya tidak boleh melepaskan peluang untuk terus mendaki carta Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan mengutip tiga mata berharga apabila dijadualkan bertemu dengan Watford di Emirates malam ini.
Kata Arteta, barisan pemain perlu meneruskan mentaliti positif selepas merekodkan tujuh perlawanan tanpa kekalahan dan jika rentak tersebut berterusan, harapan untuk menamatkan saingan di kedudukan empat teratas sangat cerah.
“Saya sangat gembira dengan prestasi semasa pasukan yang kini lebih konsisten dan yakin dengan corak taktikal yang diterapkan selain peluang untuk mencatat kemenangan pada setiap perlawanan yang diharungi semakin tinggi.
“Pujian wajar diberikan kepada pemain memandangkan mereka telah dikritik hebat ekoran prestasi hambar awal musim ini, tetapi berjaya menutup mulut pengkritik dengan aksi yang lebih konsisten sejak dua bulan lalu.
“Kini, fokus utama adalah untuk mengekalkan momentum yang sama agar harapan untuk menamatkan kempen EPL musim ini di kedudukan keempat teratas semakin cerah meskipun di atas kertas, kami bukan lagi pasukan pilihan,” katanya.
Sementara itu, Arteta turut menyeru agar barisan pemain lebih berwaspada dengan ancaman yang bakal diberikan oleh Watford yang memiliki taktikal ampuh memandangkan kelab itu kini dibimbing oleh pengendali berpengalaman, Claudio Ranieri.
“Saya anggap Watford adalah salah satu pasukan berkualiti dan ia bukanlah sesuatu mengejutkan kerana mereka merupakan juara Liga Kejuaraan musim lalu. Kini, di bawah kendalian Ranieri, saya anggap mereka berpotensi melakar sesuatu yang unik, tetapi harap bukan ketika menentang kami,” katanya. – AGENSI