KOTA BHARU – Kerajaan bersetuju memberi kebenaran kepada individu atau pengembara yang menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Covaxin keluaran sebuah syarikat dari India, Bharat Biotech untuk memasuki negara ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar berkata, meskipun Malaysia tidak menggunakan vaksin tersebut, kerajaan memberikan kebenaran kepada penerimanya kerana ia sudah mendapat kelulusan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Saya ucapkan tahniah kepada India kerana dapat menghasilkan vaksin tersebut yang mendapat pengiktirafan WHO.
“Buat masa ini, tiada keperluan untuk membeli vaksin Covaxin kerana kita mempunyai bekalan yang cukup bagi menampung permintaan tempatan,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini hari ini.
Terdahulu, vaksin Covaxin yang dibangunkan oleh Bharat Biotech di India untuk kegunaan semasa darurat mendapat kelulusan WHO dan vaksin itu mempunyai keberkesanan 78 peratus terhadap Covid-19 serta sesuai untuk negara berpendapatan rendah berikutan keperluan penyimpanan yang rendah.-K! ONLINE