GUA MUSANG – Jalan menghala ke Gua Musang di sini mulai sibuk dengan kenderaan sejak pagi tadi ekoran pengguna jalan raya dari Kelantan mula bergerak pulang ke ibu kota hari ini.
Seorang pengguna jalan raya, Johari Abdullah, 35, berkata, trafik begitu perlahan ketika melalui kawasan bandar Kuala Krai menuju ke Gua Musang akibat sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Telekong, Kuala Krai.
Katanya, rata-rata pengguna jalan raya mahu pulang ke Kuala Lumpur selepas bercuti di kampung halaman sempena perayaan Deepavali.
“Saya bertolak dari Kota Bharu pada pukul 9 pagi tadi dan tiba di Hentian Gua Musang di sini pada pukul 2.30 petang. Kebiasaannya, perjalanan hanya mengambil masa tiga jam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, jumlah kenderaan melalui jalan Kuala Krai-Gua Musang dan Gua Musang-Lipis berlaku sedikit pertambahan hari ini.
Katanya, bilangan kenderaan dijangka semakin bertambah keluar dari negeri ini menjelang esok dan berkemungkinan menyebabkan kesesakan lalu lintas di beberapa kawasan jalan di daerah ini.
Terdahulu, tular pengguna media sosial memaklumkan bahawa aliran dari arah Kota Bharu ke Gua Musang sesak teruk.
Keadaan itu berlaku apabila ramai perantau yang pulang ke kampung halaman mula kembali ke ibu kota selepas cuti perayaan Deepavali. -K! ONLINE