PONTIAN – Kira-kira 2,000 orang pengunjung tidak melepaskan peluang merasai fenomena air pasang besar yang melimpahi Taman Negara Johor Tanjung Piai (TNJTP), di sini hari ini.
Kejadian fenomena air pasang besar bermula pukul 11 pagi tadi menyaksikan ramai kanak-kanak teruja dan gembira kerana dapat bermain di ‘ air terjun’ semula jadi di anak tangga menuju ke taman tersebut yang hanya berlaku ketika air pasang besar menyusuri taman tersebut.
Pengunjung dari Kota Tinggi, Saffari Abu Bakar,38, bersama tiga orang anaknya tidak melepaskan peluang melihat fenomena air pasang di taman negara ini.
“Ini kali pertama kami berkunjung ke TNJTP dan seronok sangat dapat lihat kejadian tersebut yang sebelum ini hanya dilihat dikaca televisyen atau media sosial.
“Tak sangka begitu ramai orang datang pada pagi ini bagi sama-sama melihat fenomena air pasang yang jarang ditemui di tempat lain,” ujarnya ketika ditemui pemberita di sini.
Turut bersama berkunjung ke TNJTP ialah empat orang adik beradik dari Kota Bahru, Kelantan yang telah merancang untuk berkunjung ke taman ini bagi melihat dengan lebih dekat fenomena air pasang tersebut.
Mohamad Hairi Ismail, 35, memberitahu, dia bersama tiga adiknya tiba dari Kota Bahru semalam dan menginap di sebuah hotel sebelum bergerak ke Tanjung Piai.
Sementara itu, Pengurus merangkap Pegawai Penyelidik TNJTP, Lili Tokiman berkata, dijangka hampir 6,000 orang pengunjung melawat taman rekreasi bagi melihat fenomena air pasang besar bermula pada hari Khamis hingga hari ini. -K! ONLINE