BERUAS – Sejumlah 70 individu melibatkan 21 keluarga yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Panchor, Pengkalan Bharu, di sini dipindahkan apabila penempatan mereka dinaiki air ekoran fenomena air pasang besar malam tadi.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Manjung berkata, kesemua mereka dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Panchor pukul 8 malam tadi.
Jelasnya, penempatan tersebut dinaiki air sedalam 0.2 meter dan keadaan cuaca mendung malam tadi, namun keadaan adalah baik dan terkawal pagi ini.
“Mangsa terdiri daripada 26 lelaki termasuk enam warga emas, 25 wanita termasuk lapan warga emas, lapan kanak-kanak lelaki dan 11 kanak-kanak perempuan,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.
Menurut beliau, pihaknya ketika ini masih memantau keadaan banjir kilat tersebut.
Beliau memberitahu seramai 42 petugas melibatkan tujuh agensi bertugas memantau situasi di PPS dan penempatan tersebut. -K! ONLINE