fbpx

JDT tidak rela rekod tercalar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MORA mahu anak-anak buahnya memberi tumpuan penuh ketika menentang PJ City pada saingan Piala Malaysia di Stadium MBPJ, Petaling Jaya malam ini.

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak rela rekod baharu 13 kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan dicalarkan oleh PJ City FC pada aksi kelima Kumpulan D saingan Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.

Pengendalinya, Benjamin Mora menyifatkan PJ City sebagai lawan sukar dan sering mendatangkan masalah kepada skuad Harimau Selatan setiap kali mereka bertemu.

Katanya, pasukan kendalian P. Maniam itu memiliki tahap kecergasan yang tinggi dan mampu memberikan kesukaran kepada pasukannya sepanjang tempoh 90 minit permainan.

“Setiap kali berdepan PJ City, saya menjangkakan ia bakal menjadi perlawanan yang sukar. Jadi, kami perlu memberi tumpuan penuh untuk memastikan kemenangan berpihak kepada kami.

“Rekod yang kita miliki hari ini adalah hasil usaha keras pemain yang konsisten perlawanan demi perlawanan. Jadi sasaran kami seterusnya untuk menewaskan PJ City.

“Saya tidak letak sasaran untuk sejauh mana rekod ini mampu bertahan kerana kami tidak dapat ramalkan apa yang berlaku pada pertemuan seterusnya. Oleh itu, kami hanya fokus pada perlawanan akan datang,” kata­nya kepada pemberita.

JDT telah mencipta rekod baharu kelab untuk kemenangan berturut-turut dalam kesemua pertandingan susulan kemena­ngan 3-0 ke atas Sabah di Sta­dium Sultan Ibrahim, Rabu lalu.

Mengulas lanjut, Mora memberitahu, dalam dua aksi menentang Sabah, beliau telah bereksperimentasi perkara baharu yang memperlihatkan hasil positif dalam usaha untuk berkembang dalam pasukan.

Pengendali kelahiran Mexico itu berkata, dia berpuas hati de­ngan hasil eksperimen itu setelah beberapa pemain yang diberikan tugas baharu berjaya memikul peranan yang diberikan sebaik­nya.

“Sebagai jurulatih, saya juga perlu bekerja keras untuk memastikan pasukan berevolusi menjadi lebih dinamik.

“Ini perlu dilakukan kerana pasukan yang akan kami temui di peringkat seterusnya hinggalah ke pentas final adalah pasukan yang lebih hebat.

“Ini adalah pasukan yang memerlukan kami beri lebih tum­puan, beraksi dengan lebih stabil dan seimbang di setiap posisi. Ini adalah perkara yang kami cuba untuk tambah baik,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI