KUALA LUMPUR – Peguam terkemuka Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memfailkan permohonan untuk menggantung prosiding kes saman yang difailkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menuntutnya membayar tunggakan cukai pendapatan RM9.41 juta sementara rayuannya kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan Malaysia diputuskan.
Melalui dokumen yang diperoleh, Muhammad Shafee, 69, memfailkan permohonan itu pada 3 November lalu supaya prosiding itu digantung sementara menunggu permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan anak lelakinya, Datuk Mohd Nazifuddin untuk mendapatkan kebenaran bagi merayu ke Mahkamah Persekutuan berhubung kes saman cukai terhadap mereka didengar di Mahkamah Persekutuan pada 16 Februari depan.
Selain itu antara alasan lain ialah pemohon telah memfailkan notis rayuan iaitu Borang Q terhadap notis-notis taksiran tambahan bagi tahun taksiran 2011,2012, 2013, 2014 dan 2016 kepada LHDN pada 27 Jun 2019 selain terdapat keadaan istimewa yang wujud bagi membenarkan permohonannya untuk menggantung prosiding berkenaan.
Sebelum ini pada 13 September lalu, Najib dan Mohd. Nazifuddin memfailkan notis usul untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung pembayaran tunggakan cukai masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada LHDN.
Pada September lalu LHDN telah memfailkan penghakiman terus berhubung saman terhadap Muhammad Shafee yang menuntutnya membayar cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta.
Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan dan afidavit tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.
Pada 13 Oktober lalu, LHDN memohon untuk membatalkan tuntutan balas yang dikemukakan Muhammad Shafee berhubung tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta.
Pada 6 Mei lalu pula, LHDN memfailkan saman terhadap Muhammad Shafee menuntutnya membayar cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta.
Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui LHDN di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Muhammad Shafee sebagai defendan bagi tunggakan cukai itu selama lima tahun.-K! ONLINE