ANGGOTA kumpulan Enhypen, Heeseung dilaporkan baharu sahaja selesai menjalani pembedahan pada kaki minggu lalu.
Perkara tersebut turut disahkan agensi naungannya, Enhypen Belief Lab menerusi satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman media sosial rasmi mereka.
“Heeseung baru-baru ini selesai menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan cyst epidermoid pada salah satu jari kakinya dan sedang berehat seperti saranan doktor.
“Buat masa ini Heeseung perlu mengehadkan penyertaannya dalam beberapa persembahan yang sudah dijadualkan,” tulis kenyataan tersebut.
Terdahulu, Heeseung atau nama sebenarnya Lee Heeseung, 20, dirujuk ke hospital setelah mengalami kecederaan pada satu jari kaki kanannya sewaktu sibuk dalam jerayawara untuk mempromosikan album studio pertama kumpulan mereka.
”Setelah mengikuti nasihat doktor, Heeseung menjalani pembedahan pada 1 November sejurus selepas tamat promosi album tersebut.
“Kami akan terus memantau pemulihan Heeseung dan menentukan tahap penyertaannya dengan mengambil kira nasihat doktor dan keadaan semasanya,” kata kenyataan itu lagi.
Enhypen membuat debut pada 30 November tahun lalu dengan dianggotai tujuh ahli iaitu Jungwon, Heeseung, Jay, Jake, Sunghoon, Sunoo dan Ni-ki.