KUALA LUMPUR – Padah membuat komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, seorang pemandu e-hailing didenda RM16,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim, M.M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Sufazrin Amin Ismail, 26, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas lelaki itu mengekalkan pengakuan bersalah atas empat pertuduhan yang disabitkan pada tarikh jatuh hukum.
Mahkamah turut memerintahkan Sufazrin selaku Orang Kena Saman (OKS) dipenjara lapan bulan sekiranya gagal membayar jumlah denda itu.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Sufazrin didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menganiayai orang lain, melalui aplikasi Twitter menggunakan nama profil “Fazrin Ismail” atau “@Fazr_Ismail”.
Empat hantaran dengan penyataan yang berbeza terhadap Yang di-Pertuan Agong itu dibuat di antara pukul 1.56 tengah hari hingga 10.29 malam, pada 23 dan 25 Mac lepas.
Kesemua pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pukul 7 malam pada 28 Mac lepas.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sebelum ini pada 6 Ogos lalu, Sufazrin telah mengaku bersalah atas semua pertuduhan tersebut dan merayu hukuman ringan serta memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana perbutannya telah menimbulkan kemarahan ramai.
Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaludin memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira perbuatan OKS itu melibatkan Ketua Negara iaitu Yang di-Pertuan Agong. – K! ONLINE