fbpx

Ronaldo seru semangat Man. United

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RONALDO (tengah) menggesa barisan pemain pertahanan supaya tidak melakukan kesilapan mudah bertemu City malam ini. – AFP

MANCHESTER – Penyerang sensasi Manchester United, Cristiano Ronaldo menyeru agar rakan sepasukannya tidak me­ngibarkan bendera putih terlalu awal menjelang pertemuan derbi menentang Manchester City di Old Trafford malam ini.

Sebagai rekod, Ronaldo muncul wira buat skuad The Red Devils dalam memastikan pasukan tidak pulang dengan tangan kosong ketika seri 2-2 hasil jari­ngan pada masa kecederaan ketika bertemu Atalanta pada aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara awal pagi Rabu lalu.

Kata Ronaldo, mentaliti berjuang sehingga wisel penamat yang ditiupkan bakal menjadi azimat penting buat pasukan dalam usaha mengekang asakan skuad kendalian Pep Guardiola itu daripada mencuri mata berharga di Old Trafford nanti.

“Pasukan ini tidak pernah mengalah dan sentiasa percaya dengan peluang yang akan tiba sehingga wisel penamat dan situasi ini terbukti pada pertemuan menentang Atalanta yang lepas dan saya mahu sikap itu dikekalkan pada aksi akan datang.

“Namun, ada beberapa ruang yang boleh diperbaiki khusus­nya aspek pertahanan yang saya harap lebih peka dengan peran­cangan yang dibuatkan oleh jurulatih agar dapat mengelak daripada melakukan kesilapan mudah,” kata pemain antarabangsa Portugal itu.

Sementara itu, pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer bakal membuat rombakan dalam kesebelasan utama dengan mempertaruhkan khidmat Eric Bailly untuk digandingkan bersama kap­ten, Harry Maguire di posisi pertahanan tengah selepas Raphael Varane mengalami kecederaan.

“Bailly telah membuktikan kenapa dia boleh diberikan kepercayaan untuk mengemudi posisi pertahanan tengah dengan mempamerkan prestasi cukup memberangsangkan pada aksi bertemu Atalanta sebelum ini.

Sudah tentu dia bakal menjadi sandaran buat kami ketika aksi bertemu Manchester City selepas Varane mengalami kece­deraan,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI