PETALING JAYA – “Banyak yang telah saya lalui sejak kebelakangan ini.”
Demikian antara luahan rasa hati pelakon dan pengacara, Yasmin Hani seperti membayangkan beratnya badai yang melanda dalam perkahwinannya bersama Shahrin Razali.
Pemilik nama sebenar, Yasmin Hani Ismail Richardson itu bagaimanapun sangat bersyukur kerana banyak pihak tidak henti-henti memberikan sokongan terhadap dirinya pada waktu sukar ketika ini.
“Saya berasa sangat bersyukur dapat tahu ramai yang munculkan diri dan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada saya.
“Terima kasih kepada kalian semua orang yang baik-baik. Bless your hearts (terima kasih atas keprihatinan).
“Terus senyum dan percaya keadaan akan jadi lebih baik. Insya-Allah,” kata Yasmin menerusi satu hantaran status Instagram.
Terdahulu, ibu kepada dua cahaya mata itu mendedahkan dalam satu program hiburan bahawa rumah tangganya dengan suami sedang dilanda masalah.
Kata Yasmin, dia masih berstatus isteri kepada Shahrin yang merupakan bekas pemain drum Blackrose dan hanya akan mendedahkan lebih lanjut tentang status perkahwinan mereka apabila dirinya sudah bersedia.
Yasmin dan Shahrin berkahwin pada 2011 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Noah Ismail Wong, 8, dan Eissa Elzander Wong, 5. – K! ONLINE