fbpx

Identiti pemandu ‘kanvas’ terbang dikenal pasti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar rakaman video tular berdurasi 45 saat yang tular di media sosial.

PETALING JAYA – Pihak syarikat, KDEB Waste Management (KDEBWM) sudah mengenal pasti subkontrakor dan pemandu lori yang menyebabkan ‘kanvas’ terbang hingga dua lelaki yang menaiki motosikal nyaris maut di kilometer 33.5 Jalan Puchong/Cyberjaya/Dengkil berhampiran susur menghala Kajang, pada Rabu lalu.

Pengarah Urusannya, Ramli Mohd. Tahir berkata, pihak subkontraktor dan pemandu lori tersebut akan mengemukakan laporan insiden tersebut kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang hari ini.

“Kita serahkan sepenuhnya segala siasatan serta tindakan lanjut berkenaan kes ini mengikut peruntukan undang-undang kepada pihak polis.

“Kita memandang serius insiden terbabit dan akan mengambil tegas ke atas subkontraktor yang didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan termasuk menamatkan kontrak perkhidmatan mereka sekiranya perlu,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, tegas beliau, pihaknya sudah mengenal pasti identiti kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal dan telah dilawati untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, insiden berlaku apabila pengikat kanvas pada lori telah terputus dan menghalang penglihatan penunggang serta pembonceng motosikal tersebut sehingga hilang kawalan dan terlibat kemalangan.

“KDEBWM merakamkan terima kasih di atas keprihatinan orang awam yang telah melaporkan insiden kemalangan tersebut.

“Kita akan terus komited memastikan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal mengikut SOP yang ditetapkan agar insiden sama tidak berulang pada masa akan datang,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan tentang sehelai kain kanvas yang diikat pada sebuah lori tertanggal dan membaluti sebuah motosikal yang ditunggang oleh dua individu mengakibatkan motosikal tersebut hilang kawalan dan terlanggar bahagian tayar sebuah lori.

Bagaimanapun dalam kejadian Rabu lalu itu, kedua-dua mangsa dilihat masih mampu berdiri sebaik sahaja terjatuh daripada motosikal dinaiki mereka. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI