PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melancarkan Ops Menu bagi menjalankan pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan ke atas restoran dan kedai makan di seluruh negara melibatkan tanda harga serta alat timbang dan sukat.
Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, ia antara lain untuk memastikan pematuhan perundangan berkaitan penandaan harga dan penggunaan alat timbang sah bagi perdagangan serta mengelakkan manipulasi harga dan penipuan timbangan oleh segelintir peniaga tidak beretika.
“Ops Menu memberi fokus pemeriksaan ke atas semua premis yang menyedia makanan siap masak termasuk restoran dan kedai makanan Melayu, Cina, India, India Muslim, medan selera, restoran makanan laut dan seumpamanya.
“Sasaran pemeriksaan adalah melibatkan tanda harga serta alat timbang dan sukat yang digunakan untuk oleh restoran dan kedai makan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, tindakan tegas akan dikenakan ke atas peniaga yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan Dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 dan boleh dikenakan denda.
Katanya, jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM50,000 manakala jika orang itu adalah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM100,000.
“Untuk kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972, peniaga boleh dikenakan denda tidak melebihi RM40,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun.
“Justeru KPDNHEP memberi peringatan kepada semua pengusaha-pengusaha restoran dan kedai makan agar sentiasa mematuhi perundangan yang ditetapkan khususnya berkaitan penandaan harga dan alat timbang ini bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang termasuk didakwa di mahkamah atau dikenakan kompaun,” tegasnya. – K! ONLINE.