PETALING JAYA-Percutian puluhan individu bagi menghabiskan masa cuti hujung minggu di salah sebuah hotel terkemuka di Kuantan, Pahang berakhir duka apabila mereka terkandas hampir tujuh jam sebelum dibenarkan ‘check-in’.
Pengalaman sedih pelanggan hotel itu turut tular di laman media sosial apabila rata-rata mereka berkongsi mengenai kejadian itu selain melahirkan rasa kecewa terhadap sikap pengurusan hotel terlibat.
Menurut seorang pelanggan yang mahu dikenali sebagai Syafiq Akhir, dia dan keluarga merancang untuk menginap di hotel itu selama tiga hari dan perlu mendaftar masuk semalam.
“Bagaimanapun, ketika kami tiba di hotel itu kira-kira pukul 4 petang, masih ramai yang belum dapat bilik dan terpaksa menunggu di ruang lobi.
“Bayangkan, saya memandu dari Perak dan apabila sampai di Kuantan semestinya mahu rehat, tetapi terpaksa tunggu hingga hampir lewat malam sebelum diberikan bilik,” katanya kepada Kosmo! tadi.
Katanya, dia turut berasa kecewa dengan sikap pengurusan hotel dalam menguruskan insiden berkenaan berikutan tidak mengutamakan pelanggan khususnya warga emas dan kanak-kanak.
“Kami dimaklumkan antara masalah dihadapi oleh pihak hotel ialah bilik belum tersedia dan perlu menunggu. Sekurang-kurangnya, berilah baucer makanan atau minum kerana lewat untuk dapat bilik tetapi harga perlu dibayar penuh.
“Selain itu, ramai pelanggan sudah membuat tempahan awal dan bukannya secara ‘walk-in’,jadi masalah seperti itu perlu dielakkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna TikTok @farraoffera menjelaskan mereka juga antara yang perlu menunggu lama di lobi sehingga lima jam sebelum mendapat bilik ditempah.
“Betul menyusahkan, bayar dekat RM500 semalam, macam ini ke servis kalian, bayar RM500 hanya untuk beratur sahaja di lobi.
“Sampai di sini pukul 2 petang, beratur dekat empat jam, kunci bilik pun belum dapat lagi, pusat kuarantin pun tidak seteruk ini, kesian dekat semua tetamu,” kongsinya. -K! ONLINE.