MASALAH skoliosis yang kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja merupakan satu keadaan apabila tulang belakang membengkok ke kiri atau ke kanan melebihi 10 darjah. Lazimnya skoliosis boleh berbentuk C atau S. Skoliosis biasanya tidakmenyebabkan sakit belakang.
Bagaimanapun, kanak-kanak dengan lengkungan skoliosis yang besar mungkin berasa tidak selesa. Beg sekolah yang berat atau pemakaian beg pada sebelah bahu bukanlah penyebab skoliosis, mahupun menjadi penyebab ia bertambah teruk.
Postur badan yang tidak betul juga bukan punca berlakunya skoliosis. Bagaimanapun, kedua-dua ini mungkin menyebabkan sakit belakang.
Terdapat beberapa jenis skoliosis, iaitu idiopatik, kongenital, neuromuskular dan sindromic. Skoliosis idiopatik puncanya masih
tidak diketahui adalah yang paling kerap berlaku, manakala kongenital didapati sejak lahir dan berkembang semasa bayi masih dalam kandungan.
Skoliosis neuromuskular pula berpunca daripada masalah saraf atau otot dan sindromic dikaitkan dengan sindrom-sindrom yang boleh melibatka jantung, buah pinggang dan sebagainya.
Begitupun, penyakit ini lebih kerap berlaku pada kanak-kanak perempuan yang mana tanda-tanda boleh dikesan menerusi ketidaksamarataan bahu, badan senget sebelah, sebelah bahagian tulang belikat lebih menonjol, pinggang tidak seimbang, selain bahagian sebelah tulang pinggul lebih tinggi.
Benjolan di bahagian belakang tulang rusuk dan belakang badan sewaktu membongkok ke hadapan juga merupakan antara tanda-tanda individu mengalami skoliosis.
Biasanya penyakit ini boleh didagnosis oleh pakar spina dengan melakukan sudut lengkungan skoliosis atau sudut Cobb yang diukur pada filem X-ray. Di situ, tahap keseriusan penyakit skoliosis akan ditunjukkan. Lazimnya, beberapa bentuk rawatan bagi merawat penyakit ini disyorkan selepas mengambil kita beberapa faktor.
Sudut Cobb adalah sangat penting dalam menentukan rawatan skoliosis dan pengukurannya yang betul sangat mustahak.
Ini kerana, ukuran yang tidak tepat boleh menjejaskan rawatan. Faktor-faktor lain yang turut diambil kira sebelum rawatan dijalankan
termasuk umur dan kematangan anak yang menunjukkan sama ada lengkungan skoliosis bertambah teruk.
Kadar pertumbuhan skoliosis yang cepat juga mempengaruhi cara rawatan. Antara rawatan yang dijalankan bagi penyakit ini adalah menerusi pemerhatian.
Dalam hal ini, kanak-kanak yang mempunyai lengkungan skoliosis kurang daripada 20 darjah ataupun dewasa dengan lengkungan kurang 45 darjah akan diperhatikan oleh doktor bagi memantau perkembangan lengkungan.
Mereka kemudian akan diperiksa dengan X-ray setiap empat hingga enam bulan bergantung kepada kematangan. Kaedah lain adalah menerusi pendakap.
Penggunaan pendakap hanya disyorkan jika lengkungan skoliosis antara 20 hingga 45 darjah. Si anak pula perlu belum matang
sepenuhnya terutamanya apabila lengkungan berlaku dengan cepat.
Penggunaan pendakap boleh mengelakkan skoliosis bertambah teruk. Pematuhan pemakaian pendakap sangat penting kerana kajian menunjukkan, pemakaiannya untuk tempoh lebih panjang meningkatkan keberkesanan kawalan skoliosis.
Alternatif lain adalah menerusi pembedahan. Mereka yang ada skoliosis berukuran 45 darjah dan ke atas dinasihatkan untuk menjalani pembedahan bagi mengelakkannya bertambah teruk, di samping mengurangkan lengkungan.
Walaupun risiko pembedahan adalah serius, ia telah dikurangkan dengan kemajuan teknologi dan kepakaran dalam pembedahan skoliosis.
Kebiasaannya, pesakit boleh dibenarkan pulang dalam tiga hingga empat hari selepas pembedahan. Pemeriksaan luka pula dilakukan
selepas dua minggu.
Pesakit boleh kembali ke sekolah dalam tempoh empat ke enam minggu dan kembali selepas pembedahan. Jika anda mengesyaki diri sendiri atau anak anda mempunyai skoliosis, sila berjumpa doktor pakar spina untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Ibu bapa perlu memantau tumbesaran anak untuk mengesan skoliosis, terutamanya semasa peringkat akil baligh yang mana kadar tumbesaran adalah paling cepat.
Ini kerana, jika lambat didiagnosis, ia boleh menyebabkan lengkungan skoliosis menjadi besar, menyebabkan kemerosotan paru-paru dan jantung.
—
Penulis, Dr. Chung Weng Hong ialah Pakar Perunding Ortopedik dan Tulang Belakang UM Specialist Centre (UMSC)