KEPUTUSAN tidak konsisten pengadil servis nyata menjadi punca kekalahan beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pada pusingan pertama kejohanan badminton Terbuka Hylo, Jerman malam kelmarin.
Pada aksi di Arena Tertutup Saarlandhalle itu, mereka terpaksa akur dengan kekalahan straight set 16-21, 17-21 kepada beregu Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran.
Kian Meng mengakui kecewa dengan tindakan pengadil yang membatalkan hampir 10 pukulan servis yang dilakukan pada aksi itu sehingga memberi kesan terhadap keyakinan mereka.
Jelasnya, kekalahan itu sangat mengecewakan memandangkan mereka mahu mendapatkan mata bagi memastikan kelayakan ke Jelajah Dunia Akhir di Bali, Indonesia bulan depan.
“Perlawanan hari ini (kelmarin) sangat mengecewakan kerana ia sangat penting untuk kelayakan ke Jelajah Dunia Akhir nanti. Saya harap ia tidak beri kesan kepada tahap keyakinan kami untuk kejohanan akan datang.
“Sebenarnya, pengadil servis juga menjadi punca kekalahan pada hari ini (kelmarin) kerana membatalkan hampir 10 pukulan servis kami,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menerusi kekalahan itu, Kian Meng-Pei Jing kini memiliki masa lebih kurang dua minggu untuk melakukan persiapan bagi menghadapi kejohanan Indonesia Masters pada 16 November ini.
Justeru, beregu yang berada pada ranking ke-12 dunia itu tekad untuk memperbaiki corak permainan dalam usaha memastikan tempat ke Jelajah Dunia Akhir nanti.