HULU SELANGOR – Persiapan dua beranak untuk menyambut Deepavali dicemari tragedi berdarah apabila salah seorang mati dikelar selepas berlaku pertengkaran dalam kejadian di rumah mereka di Bernam Jaya, Hulu Bernam di sini kelmarin.
Kejadian pada pukul 12.55 tengah hari itu berlaku apabila si bapa berusia 71 tahun gagal menahan marah selepas berang dengan tindakan anaknya menukar siaran televisyen yang sedang dia tonton.
Difahamkan, si bapa telah lama berang dengan mangsa yang dikatakan malas dan enggan mencari kerja.
Si anak pula tidak pernah berkahwin dan kebetulan ketika kejadian si bapa sedang menonton televisyen sebelum mangsa menukarnya yang kemudian mengundang kemarahan suspek.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, pada awalnya polis menerima laporan daripada suspek mengatakan yang dia terjumpa anaknya dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di ruang tamu sebaik pulang dari membeli barang di sebuah kedai berhampiran rumahnya.
Katanya, dia yang kononnya terkejut telah memaklumkan penemuan itu kepada jiran sebelum meminta individu tersebut menghubungi polis.
“Dalam laporannya, dia mengatakan terjumpa anaknya yang berusia 37 tahun dengan luka di leher dan darah keluar dari kepalanya. Bagaimanapun, siasatan yang dilakukan menemui kesan luka yang dalam pada leher mangsa.
“Kita dapati, kesan itu bukan seperti tindakan membunuh diri sebaliknya dilakukan oleh pihak ketiga. Kedua-dua beranak itu tidak bekerja,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, selepas disoal siasat, suspek akhirnya mengaku yang dia telah bertengkar dengan anak lelakinya itu selepas mangsa mengubah siaran televisyen yang dia sedang tonton.
Menurut Arsad, menurut keterangan awal suspek, ketika bertengkar, dia telah menolak mangsa ke dinding hingga terjatuh ke lantai sebelum dia bertindak mengambil pisau di dapur dan berlaku pergelutan yang mengakibatkan mangsa ditoreh pada leher sebanyak tiga kali.
“Suspek kemudian diberkas dan polis merampas sebilah pisau berukuran 20 sentimeter, sehelai kemeja dan seluar pendek yang dipakai dan digunakan suspek ketika kejadian,” katanya.
Ujar Arsad, suspek tinggal bersama isterinya dan mangsa di rumah tersebut dan ketika kejadian wanita itu tiada di rumah kerana keluar bekerja.
“Ujian air kencing suspek menunjukkan keputusan negatif selain dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 10 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya.
Tambahnya, polis percaya telah menyelesaikan kes tersebut dengan penahanan suspek sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap polis.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai jenayah supaya segera menyalurkan maklumat kepada mereka.