GEORGE TOWN – Kaki pancing di bawah Jambatan Pulau Pinang dekat sini cemas setelah melihat kejadian belalai air berlaku dari arah Seberang Perai menghala ke Pulau Jerejak petang tadi.
Kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu turut menyebabkan pemandu bot pancing terpaksa berpatah balik ke jeti berikutan kejadian angin kencang dan ribut disusuli hujan lebat.
Difahamkan, ramai kaki pancing berada di tembok bawah jambatan ketika fenomena itu berlaku dan masing-masing sedang menunggu untuk dibawa pulang oleh bot pancing.
Seorang pemandu bot pancing, Sobri Karim, 36, berkata, semasa kejadian terdapat enam kaki pancing berada di atas bot.
“Ketika itu, kami dalam perjalanan pulang ke jeti di Batu Uban selepas mengambil kaki pancing di bawah jambatan. Keadaan bertukar cemas berikutan penumpang pertama kali melihat kejadian itu.
“Laut ketika itu bergelora dan kami turut terkena tempias ribut. Mujur tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini kerana lokasi di sini terlindung dengan Bukit Juru dan Seberang Perai,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Ketika ini, hujan berlaku di beberapa daerah di negeri ini sejak pukul 7 petang tadi dan keadaan di perairan berdekatan Jambatan Pulau Pinang dilaporkan kembali stabil. – K! ONLINE