JITRA – Hasrat seorang lelaki untuk melihat anak tunggal perempuan berusia setahun mula berjalan tidak kesampaian selepas dia ditemui lemas apabila terjatuh di kawasan sawah padi dipenuhi air banjir di Kampung Keluang, di sini semalam.
Mayat, Omar Ismail, 25, ditemui pada pukul 9.20 pagi semalam kira-kira tiga meter dari lokasi kejadian selepas mangsa terjatuh pada pukul 3.03 petang kelmarin.
Kakak ipar mangsa, Nur Nazihah Md. Radzi, 28, berkata, sebelum kejadian mangsa ada berbual dengan isterinya, Nur Diana, 25, tentang anak tunggal mereka, Nia Camelia Sofea yang baru berusia satu tahun.
“Dia tanya isteri bila agaknya anak mereka boleh mula berjalan, namun lebih terkilan apabila ketika kejadian anak mereka mula berjalan dua tiga langkah tanpa sempat dia melihatnya.
“Semalam Nia pula mula mencari ayahnya (Omar) untuk tunjuk dia sudah boleh berjalan dan kebiasaannya ayahnya itu akan pulang sebelum maghrib,” ujarnya.
Pasangan itu berkahwin pada 2019 dan mangsa membantu bapa mentuanya menguruskan sawah, manakala Nur Diana berniaga berdekatan rumah.
Dalam pada itu, bapa mentua mangsa, Md. Radzi Mehat, 52, berkata, kira-kira pukul 12.30 tengah hari kelmarin, menantunya ke kawasan sawah itu bersama rakannya untuk menarik pukat yang dipasang sejak Isnin lalu.
“Sebelum keluar dia memaklumkan saya memandangkan kami tinggal bersama. Kira-kira pukul 2.30 petang kami dimaklumkan dia terjatuh ke dalam sawah sedalam 1.5 meter.
“Rakan-rakan mangsa juga melakukan usaha mencarinya namun gagal ketika itu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Jitra, di sini semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, mangsa terjatuh ketika memukat di kawasan sawah pada pukul 3.03 petang kelmarin dan mayatnya ditemui terapung pada pukul 9.20 pagi semalam.
“Kita menasihati agar orang ramai tidak melakukan sebarang aktiviti berdekatan kawasan sawah atau sungai berikutan keadaan banjir yang melanda negeri ini sekarang,” ujarnya.