TIRASPOL – Tonggak tengah Inter Milan, Marcelo Brozovic percaya nasib pasukan dalam usaha meloloskan diri ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara terletak sepenuhnya di tangan mereka selepas merekodkan kemenangan 3-1 ke atas kelab Moldova, Sheriff Tiraspol awal pagi semalam.
Pada aksi tersebut, Nerazzurri tidak mempunyai masalah untuk mengutip tiga mata berharga hasil ledakan Brozovic, Milan Skriniar dan Alexis Sanchez bagi memastikan pasukan dapat menduduki tangga kedua Kumpulan D dengan tujuh mata selepas empat perlawanan.
Kata Brozovic, permulaan hambar pasukan yang hanya meraih satu mata daripada dua perlawanan awal sudah menjadi sejarah dan kini peluang untuk pasukan mara ke peringkat kalah mati sangat cerah.
“Kami sangat gembira apabila dapat melakar dua kemenangan berturut-turut ke atas Sheriff yang saya percaya menghidupkan kembali peluang pasukan untuk ke pusingan kalah mati.
“Secara keseluruhan, kami adalah pasukan yang lebih baik berbanding Sheriff kerana berjaya menghalang setiap serangan balas pantas yang cuba dilakukan oleh mereka selain memanfaatkan setiap peluang terhidang yang dimiliki,” katanya.
Sementara itu, pemain berpengaruh Inter, Arturo Vidal turut meluahkan rasa lega selepas pasukan berjaya merekodkan kemenangan penting sekali gus memberi ruang untuk bernafas pada baki dua perlawanan nanti.
“Saya anggap tekanan untuk mengharungi perlawanan ini sangat tinggi terutama apabila Sheriff mempamerkan prestasi yang cukup cemerlang di laman sendiri. Namun, kami berjaya menyerap tekanan dan meraih kemenangan berharga buat pasukan,” katanya. – AGENSI