fbpx

SPR bakal mesyuarat bincang tarikh PRN Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.

Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini berkata, tarikh mesyuarat itu bagaimanapun akan dimaklumkan kemudian oleh pihaknya.

Ia susulan penamatan rasmi Proklamasi Darurat negeri itu setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.

SPR ujarnya, turut menerima pemakluman rasmi Ketua Menteri Sarawak, Datuk Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg berhubung persetujuan dari Seri Paduka Baginda.

Ia melibatkan pembatalan Proklamasi Darurat (Sarawak) PU (A) 323 sebagai mana termaktub di bawah Seksyen 2(2) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 PU (A) 324.

Berdasarkan Seksyen 3(3) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, Dewan Undangan Negeri (DUN) hendaklah terbubar pada tarikh proklamasi tersebut dinyahwartakan.

“Justeru di bawah Seksyen 3(4) ordinan itu, maka PRN hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh proklamasi tersebut telah dibatalkan atau diungkaikan,” kata Ikmalrudin. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI