fbpx

Bimbang banjir kilat berulang: Penduduk gesa PBT baik pulih longkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Philips Gomez menunjukkan longkang yang tidak diselenggara dengan baik menyebabkan air longkang bertakung yang boleh menyebabkan kejadian banjir ketika ditemui di Taman Mok Sum, Rasah, Seremban, semalam.

SEREMBAN – Selepas setahun kejadian banjir kilat yang menjejaskan lebih 500 buah rumah di daerah ini, penduduk dari tiga buah taman perumahan di Rasah di sini mendakwa tiada tindakan diambil daripada pihak berwajib dalam menyelesaikan isu longkang yang tidak selenggara berhampiran kawasan tersebut.

Ahli Persatuan Sepakat Penduduk Taman Moksum, Taman Rasah Utama dan Taman Happy, Philips Gomez, 56, berkata, penduduk mendapati, longkang yang tidak diselenggara dengan baik menyebabkan ia tersumbat sekali gus air longkang akan melimpah setiap kali berlaku hujan lebat.

Dakwanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berkenaan juga seakan-akan tidak mengendahkan walaupun aduan telah dibuat berkali-kali sebelum ini.

“Sepatutnya selepas setahun kejadian banjir kilat tersebut, longkang besar yang sudah sekian lama tidak diselenggara ini dibersihkan dan diperbaiki. Ia tidak mempunyai saluran keluar sehingga menyebabkan air bertakung dan banjir berulang kali berlaku.

“Kami sudah membuat aduan kepada pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan ADUN Rahang namun masih tiada sebarang tindakan. Baru-baru ini, berlaku kejadian hujan lebat sehingga air di longkang besar dengan sampah hampir melimpah, sudah tentu kami bimbang kejadian setahun lalu akan berulang,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Philips lagi, sejak kejadian banjir kilat yang teruk menjejaskan kawasan di sini pada 4 November tahun lalu, penduduk dari tiga taman perumahan tersebut telah mewujudkan persatuan bagi menangani isu berkenaan.

“Persatuan diwujudkan 21 hari selepas kejadian banjir tahun lalu dan juga telah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bertujuan mencari jalan bagi menyelesaikan isu ini. Bagaimanapun, menyedihkan, persatuan ini seolah-olah tidak diiktiraf pihak berwajib sehinggakan setiap aduan kami tidak diendahkan.

“Kami hanya mahu pihak terlibat mengambil langkah segera memperbaiki dan menyelenggara segera longkang serta mendalamkan sungai selain membersihkan kawasan belukar berhampiran kerana terdapat binatang seperti babi yang berkeliaran di kawasan rumah penduduk,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang penduduk Ali Mohamad, 62, turut mendakwa sering berasa bimbang dan tidur tidak lena setiap kali berlaku hujan lebat yang berterusan.

“Setiap kali hujan saya akan mula risau dan sudah bersiap sedia kerana longkang berdekatan rumah saya tiada saluran ke longkang besar. Ia menyebabkan air terus melimpah memasuki rumah saya selain air yang bertakung menyebabkan jentik-jentik membiak.

“Saya sudah menetap di sini sejak 50 tahun lalu, longkang ini merupakan longkang lama yang sudah lama tidak diselenggara. Saya berharap pihak PBT dapat melihat isu yang dihadapi penduduk di sini,” katanya lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI