fbpx

Ribuan anak ikan muncul ketika fenomena air pasang besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kelihatan ribuan ikan di tali air Pengkalan Nelayan Tok Muda, hari ini. - FOTO: ZULFADHLI ZAKI

KLANG – Kemunculan ribuan anak ikan di tali air Pengkalan Nelayan Tok Muda di sini ketika fenomena air pasang besar mencetuskan tanda tanya sekiranya berlakunya bencana alam.

Kehadiran ikan yang tidak diketahui spesis itu dikesan selama 40 minit bermula pukul 5.20 pagi.

Berdasarkan tinjauan Kosmo! yang mengikuti operasi pemantauan fenomena air pasang itu mendapati kumpulan ikan bergerak dalam pusaran besar dengan mengelilingi tali air tersebut.

Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Klang, Hussin Ab. Rahman berkata, ini adalah kali pertama pihaknya melihat kejadian sedemikian sepanjang operasi pemantauan fenomena air pasang besar.

Katanya, orang ramai dinasihati agar tidak risau mengenai kehadiran kumpulan anak ikan yang biasanya dikaitkan dengan kebarangkalian berlakunya bencana alam seperti tsunami.

“Belum ada kajian saintifik bagi membuktikan hubungkait mengenainya.

“Pemantauan berterusan sentiasa dilakukan pasukan bomba dalam mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini sepanjang tempoh fenomena air pasang besar ini,” katanya kepada pemberita semasa operasi pemantauan di lokasi tersebut hari ini.

Mengulas mengenai fenomena air pasang tersebut, Hussin memberitahu, ketinggian air laut dicatatkan adalah 5.6 meter dengan keadaan itu kekal selama 15 minit bermula pukul 5.20 pagi.

“Air laut dijangka naik lebih tinggi esok dan orang awam dinasihati tidak menjalankan aktiviti seperti mandi di kawasan laut sepanjang tempoh empat hari fenomena air pasang besar sehingga Ahad ini.

“Operasi pemantauan turut dilakukan bersama agensi lain termasuk polis, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Pejabat Daerah Klang melibatkan 200 anggota kesemuanya,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan sebanyak 11 lokaliti di daerah ini berisiko dilanda banjir susulan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku selama empat hari bermula Khamis ini.

Ini melibatkan Kampung Tok Muda, Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Pandamaran, Taman Selat Damai dan Pelabuhan Klang.

Selain itu, Kampung Sungai Serdang, Ban Sementa, Ban Sungai Keramat, Kampung Perepat, Pelabuhan Utara, Telok Gong dan Pulau Ketam. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI