PASIR PUTEH – Mayat seorang lelaki dipercayai warga asing ditemui dalam keadaan bogel berhampiran sebuah jeti pendaratan ikan di Tok Bali, di sini petang tadi.
Mayat berkenaan ditemui oleh pengawal jeti berkenaan yang telah melaporkan penemuan mayat itu kepada majikannya sebelum menghubungi pihak polis.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd. Azmir Damiri berkata, pihak polis menerima panggilan mengenai penemian mayat tersebut pada pukul 4 petang dan tiba di lokasi kejadian 20 minit kemudian untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, siasatan mendapati, mayat itu dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an ditemui dalam keadaan tertiarap di atas rumput tanpa memakai pakaian.
“Tiada sebarang dokumen ditemui untuk mengenal identiti mangsa, namun polis percaya lelaki itu merupakan warga asing berdasarkan kesan tatu pada tangan kanan dan belakang badan.
“Polis mengesyaki kematian mangsa mempunyai unsur jenayah berdasarkan kesan luka pada kepala selain lecur di belakang badan dan punggung mayat itu,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Jelas beliau, mayat dihantar ke Unit Forensik, Hospital Tengku Anis di sini untuk dibedah siasat pada pukul 7 malam.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -K! ONLINE