PETALING JAYA – Penyanyi rap wanita, Bunga Isme menafikan dirinya sebagai punca putusnya perhubungan pasangan kekasih selebriti, Ismail Izzani dan Shalma Eliana.
Bunga atau nama lengkapnya, Noor Ayu Fatini Mohd. Bakhari berharap jangan ada pihak sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah mengaitkan diri sebagai orang ketiga dalam percintaan Ismail dan Shalma.
“Jawapannya, bukan aku. Jangan sebarkan fitnah,” ciap pelantun lagu Intan Payung itu menerusi satu ciapan ringkas dalam Twitter.
Terdahulu, Ismail atau mesra dibahasakan Mail menerusi program hiburan Melodi hujung minggu lalu mengakui, sudah putus dengan kekasihnya, Shalma.
Biarpun tidak lagi bergelar pasangan kekasih, Ismail, 21, yang cukup dikenali menerusi lagu Ada Cara memaklumkan, dia dan bekas kekasih masih berkawan baik dan memutuskan untuk meneruskan kehidupan dengan haluan masing-masing.
“Ya betul (dah putus) tapi pada masa sama, kami memilih jalan tersendiri sebab saya pun banyak lagi perkara nak explore and experience (terokai). Sama juga seperti Shalma, kami masih berkawan.
“Berkenaan (isu curang) sebelum ni, boleh katakan saya yang melakukan kesilapan. Sekarang saya nak fokuskan kepada diri sendiri, keluarga dan orang sekeliling yang memberikan perkara positif,” katanya menerusi program hiburan berkenaan.
Tular juga dalam Twitter sejak petang Selasa semalam mengenai ciapan seorang netizen yang mendakwa Ismail pernah berlaku curang tidak lama dahulu.
Meskipun ciapan yang dimuat naik tidak menyatakan nama, namun berdasarkan ‘quote’ sebuah ciapan mengenai kisah percintaan Ismail dan Shalma yang terlerai, jelas merujuk kepada penyanyi lelaki itu.
“Bagus la pun break (putus cinta), kan awak (merujuk Ismail) curang di Starbucks Great Eastern Mall berpeluk dengan ‘minah’ tudung kesukaan ramai itu,” ciap netizen terbabit. – K! ONLINE