JERANTUT – Dua pasang suami isteri antara 47 individu yang ditahan dalam Ops Sarang di kawasan tanah rancangan Felda dan kampung tradisional di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, suspek yang berusia 19 hingga 52 tahun itu ditahan dalam siri serbuan di ‘port’ dadah sekitar ladang sawit dan kampung tradisional.
“Dalam operasi tersebut polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 38.12 gram, heroin (57.66 gram), pil yaba (5.14 gram), cecair kodein (0.18 gram) dan air ketum (5 liter) dengan anggaran keseluruhan bernilai RM9,000.
“Polis turut membuat sitaan ke atas harta milik pengedar dadah iaitu sebuah kereta dan empat buah motosikal,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Jerantut, di sini hari ini.
Menurutnya, seramai empat suspek yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) yang boleh dijatuhi hukuman gantung jika sabit kesalahan.
Katanya, seorang suspek turut disiasat di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952 kerana disyaki memiliki dadah jenis heroin dan syabu serta lapan orang lagi disiasat di bawah Seksyen 12(2) akta yang sama kerana menyimpan dadah yang sama.
“Dua orang yang ditangkap akan disiasat di bawah Seksyen 3 (1) ADB (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 kerana terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah jenis heroin dan syabu, manakala dua orang suspek lagi disiasat di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952 kerana disyaki mengedar dadah jenis syabu.
“Semasa operasi polis juga menahan seorang lelaki yang disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 kerana disyaki memiliki cecair daun ketum dan 28 orang lagi positif urin akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) ADB 1952,” katanya. -K! ONLINE