PETALING JAYA – Demi menjayakan watak Alwi dalam drama Keluarga Untuk Disewa, aktor Azhan Rani terpaksa menahan ‘seksa’ selama enam bulan apabila dia mewarnakan rambut dengan warna perang (blonde).
Menurut Azhan atau nama sebenarnya, Azhan Abdul Rani, 45, sebelum ini dia tidak pernah mewarnakan rambut, namun sanggup menyahut cabaran demi menyuntik kelainan dalam drama komedi arahan Raja Mukhriz itu.
“Secara peribadi, saya sangat terseksa untuk warna rambut itu. Mengikut perancangan awal, saya hanya akan bertahan dengan rambut warna perang untuk sebulan lebih sahaja.
“Tetapi saya tidak jangka akan ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang seterusnya. Jadi, selama hampir enam bulan saya bertahan dengan rambut ini kerana saya tidak dibenarkan mewarna rambut hitam.
“Jika saya menukar warna lain, rambut akan rosak kerana saya melakukan proses melunturkan warna rambut (bleach),” ujar Azhan ketika sidang media secara virtual drama Keluarga Untuk Disewa semalam.
Tambah pelakon drama Nur itu, gara-gara warna rambut yang begitu menarik perhatian, dia juga terpaksa bertahan dengan pandangan serong orang sekelilingnya setiap kali berada di tempat awam.
“Rambut ini menjadikan saya seperti makhluk asing dekat luar. Saya jalan ke mana-mana orang akan pandang terutama apabila hendak masuk ke surau dan masjid.
“Oleh sebab itu, bagi mengelakkan pandangan sinis saya terpaksa tutup rambut dengan serkup kepala. Memang menyusahkan saya sebenarnya. Namun, saya bertahan demi watak Alwi,” kongsi Azhan.
Meskipun terpaksa menahan seksa, idea untuk mewarnakan rambut perang itu sebenarnya timbul daripada Azhan sendiri.
Dia secara sukarela berkorban rambut selepas diberi kebebasan oleh pengarah untuk mengembangkan watak lakonannya.
“Saya yang menawarkan diri kepada pengarah untuk warnakan rambut walhal, dalam hidup saya langsung tidak pernah pun buat rambut.
“Selain cuba suntik kelainan dalam watak komedi, karakter untuk watak Alwi itu sendiri sebenarnya adalah imej yang serba tidak kena. Jadi, rambut sebegitu sangat sesuai dengan watak Alwi,” kata Azhan.
Selain perubahan warna rambut, dalam drama Keluarga Untuk Disewa yang menjalani penggambaran di Melaka dan Besut, Terengganu itu, Azhan telah menggayakan lebih 50 gaya rambut.
“Rasanya lebih 50 gaya rambut kerana setiap adegan akan bertukar-tukar gaya rambutnya. Memang jurusolek dan penata rambut yang sangat kreatif. Saya tadah sahaja kepala dan membiarkan mereka berkarya,” tutur Azhan.
Selain Azhan, drama Keluarga Untuk Disewa turut dibintangi Pekin Ibrahim, Adibah Noor, Dynas Mokthar, Afifah Nasir, Fimie Don dan Fifi Laura.
Drama komedi yang mengisahkan seorang nenek yang terpaksa menyewa keluarga baharu demi kesihatan mental cucu kasayangannya telah mula bersiaran 2 November lalu di slot Diandra TV9. – K! ONLINE