MALMO – Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel mahu melihat aksi lebih baik daripada Hakim Ziyech selepas pemain sayap itu membantu The Blues menang 1-0 ke atas Malmo pada aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara di Stadium Eleda awal pagi tadi.
Pada perlawanan itu, Ziyech menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-56 selepas menolak masuk hantaran lintang menarik daripada rakan sepasukan, Callum Hudson-Odoi.
Pemain antarabangsa Morocco itu menampilkan aksi yang cukup meyakinkan pada perlawanan tersebut selepas Tuchel melakukan sedikit perubahan taktikal, sekali gus memberi kelebihan kepada dia untuk lebih menyerlah.
“Kredit harus diberikan kepada pembantu saya kerana beliau memberikan idea mengenai corak permainan yang sesuai ketika waktu rehat. Beliau dapat mengesan corak bertahan yang digunakan pasukan lawan.
“Oleh itu, kami menggunakan sepenuhnya kemampuan yang dimiliki Hakim dan Callum pada separuh masa kedua. Saya gembira kerana ia berhasil, namun dia (Ziyech) masih perlu baiki penyudah,” kata Tuchel.
Selepas ini, The Blues hanya memerlukan keputusan seri menentang Juventus di Stamford Bridge bagi memastikan kemaraan ke pusingan kalah mati dalam usaha mempertahankan kejuaraan.
“Kami amat perlukan kemenangan pada perlawanan ini dan ia dilaksanakan dengan baik oleh semua pemain. Mungkin untuk perlawanan akan datang kami perlu lebih fokus dan tidak mensia-siakan peluang di depan gol,” ujarnya. – AGENSI